



- Amerika Syarikat (AS) dan sekutu baratnya yang merancang dengan teliti serangan balas Ukraine bermula pada 4 Jun, bagaikan berkhayal dengan ramalannya bahawa dalam masa empat minggu serangan balas itu dilancarkan, Russia akan menyerah dengan Ukraine menawan Crimea.
- Bagaikan orang mabuk judi yang mula menghitung kemenangan sebelum perjudian bermula, ramai pegawai Ukraine seperti ketua perisikan tenteranya Kyrylo Budanov pada April lalu telah berkhayal dengan mengatakan mereka dan kebanyakan orang Ukraine akan menikmati cuti musim panas dengan berkelah, berperahu dan memancing di destinasi percutian yang indah yang sememangnya Crimea terkenal, kerana pada masa itu Crimea akan dimiliki Ukraine.
- Sungguh menakjubkan yang AS dan sekutu baratnya benar-benar percaya dan terpedaya dengan input Ukraine dalam kisah dongeng itu; mungkin dalam kes AS kerana simbolismenya bahawa hari kemenangan V-Day akan jatuh pada 4 Julai – Hari Kemerdekaan AS.
- Lebih dua bulan kemudian pada Ogos apabila serangan balas itu ternyata gagal, kita dapati AS dan sekutu baratnya serta media arus perdana global mula berfikiran waras dan akur bahawa serangan balas itu langsung tidak berkesan dan kedudukan Russia dalam perang tersebut masih kekal utuh.
- AS dan sekutu baratnya termasuk Ukraine kini sedang berbalah sesama sendiri mengenai kegagalan serangan balas itu setelah banyak gembar-gembur dan publisiti mengenai kejayaannya dihebohkan beberapa bulan sebelumnya ala filem Hollywood yang presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, seorang pelawak profesional gemar.
- Kambing hitam kegagalan serangan balas itu nampaknya jatuh pada ketua komander tentera Ukraine, Jeneral Valery Zaluzhny , yang secara ironisnya sebelum ini menentang pelancaran serangan balas itu, dan kemudian apabila ia ternyata gagal kini pula menggalakkan untuk meneruskannya selama yang diperlukan, walaupun Ukraine menderita kehilangan yang mengerikan dalam jumlah tenteranya yang terkorban dan jumlah peralatan ketenteraanya musnah dalam serangan balas tersebut.
- Mungkin seorang lagi yang harus dijadikan kambing hitam ialah Budanov, yang telah memberikan agensi perisikan AS dan sekutunya, dan media arus perdana global maklum balas dan analisis yang mengelirukan tentang bagaimana serangan balas itu akan mencapai kejayaan besar.
- AS dan sekutunya telah membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk melengkapkan Ukraine dengan persenjataan canggih di mana setiap pakej penghantaran senjata yang diumumkan – dari kereta kebal Leopard Jerman; kereta kebal British Challenger, peluru berpandu jarak jauh Storm Shadow dan uranium terurai (depleted uranium); kepada sistem pertahanan udara Patriot AS dan peluru berangkai (cluster munition) – digembar-gemburkan media arus perdana global sebagai senjata ajaib penukar permainan yang akan memastikan kemenangan Ukraine.
- Tetapi di sebalik semua ini, AS dan sekutu baratnya masih tidak berupaya membawa Russia bertekuk lutut.

- Dengan pilihan raya presiden AS yang semakin hampir pada 2024, pentadbiran Biden bimbang projek Ukraine akan menjadi satu bencana untuk beliau memenangi pihanraya itu.
- Lantaran itu, Jake Sullivan, Penasihat Keselamatan Negara AS dan orang penting dalam kempen pemilihan semula Biden cukup terdesak untuk memikirkan apa sahaja rancangan yang diperlukan untuk mengelakkan bencana seperti itu.
- Satu rancangan itu ialah menganjurkan persidangan Jeddah untuk meyakinkan semua negara berkecuali memaksa Russia menyerah kalah dengan membincangkan rancangan damai Zelensky yang bukan rancangan damai sama sekali tetapi rancangan penyerahan diri, yang mana satu pihak utama dalam konflik itu, Russia, tidak diundang.
- Dengan kegagalan persidangan Jeddah di mana tuan rumah Arab Saudi sendiri telah mengetengahkan rancangan damainya sendiri yang jauh berbeza dengan rancangan damai Zelensky, mereka kini terdesak untuk mencari penyelesaian “jalan susur” (off-ramp) dalam konflik itu.
- Penyelesai jalan susur dalam bahasa diplomasi bermaksud rundingan yang membawa kepada pembekuan konflik yang didahului oleh gencatan senjata bertujuan melindungi air muka pihak yang tewas.
- Satu contoh klasik konflik beku ialah perang Korea pada 1950-an di mana proksi utama perang – AS dan China – bersetuju untuk membekukan konflik demi menyelamatkan AS daripada keaiban ditewaskan oleh China.
- Jadi, kerana ia adalah konflik beku, Korea Utara dan Korea Selatan sehingga hari ini secara teknikal berperang, kerana konflik itu dibekukan tanpa perjanjian damai antara mereka.
- Pada masa ini, satu penyelesaian jalan susur ialah tuntutan tanah bagi keamanan di mana Kiev melepaskan tuntutannya di wilayah Russia sebagai pertukaran untuk keahlian Nato.
- Idea ini dicetuskan oleh beberapa badan pemikir AS dan Eropah dan menjadi konkrit pada 15 Ogos apabila ia diutarakan oleh Stian Jenssen, ketua kakitangan setiausaha agung Nato Jens Stoltenberg.
- Tetapi Ukraine dengan pendirian maksimalnya yang mahukan semua tentera Russia berundur ke sempadan 1991, telah mengecam sekeras-kerasnya, memaksa Jenssen meminta maaf kerana mengemukakan idea itu.
- Russia langsung tidak memberikan komennya kerana salah satu sebab operasi ketenteraan khasnya adalah untuk memastikan Ukraine berkecuali dengan tidak menjadi anggota Nato .
- Lebih-lebih lagi, terdapat unsur “rasuah” seolah-olah Russia akan didorong oleh habuan “merampas” lebih banyak tanah sebagai balasan untuk keamanan.
- Cadangan serupa didakwa oleh akhbar Swiss Neue Zürcher Zeitung pada Februari bahawa Pengarah CIA William Burns telah menawarkan Russia satu perjanjian “tanah untuk keamanan” di mana Russia akan memiliki “20% wilayah Ukraine.”
- Namun, Rumah Putih, CIA, dan Kremlin semuanya menafikan bahawa cadangan sedemikian telah dibuat. Begitulah sifat penyelesaian jalan susur – mudah dinafikan.

- Satu lagi penyelesaian jalan susur adalah untuk Ukraine melupakan sahaja serangan balas dan pendirian maksimalnya dan hanya mempertahankan wilayahnya yang kini tidak ditawan oleh Russia, dan kemudian berunding untuk gencatan senjata, dengan Ukraine bersaiz lebih kecil kemudiannya memohon untuk keanggotaan Nato.
- Terdapat lagi satu penyelesaian jalan susur, kali ini dicadangkan oleh mantan presiden Perancis Nicolas Sarkozy untuk satu siri pungutan suara diadakan di bawah kawalan antarabangsa yang “ketat” di empat wilayah baharu Russia dan Crimea.
- Tindakan sedemikian, Sarkozy mendakwa akan membolehkan pertikaian wilayah antara kedua-dua jiran diselesaikan dan mengelakkan pembekuan konflik.
- Reaksi Ukraine adalah sangat pedas apabila Mikhail Podoliak, pembantu kepada presiden Zelensky, mengecam Sarkozy dengan mendakwa bekas pemimpin Perancis itu “mengambil bahagian dalam konspirasi jenayah untuk merampas wilayah Ukraine oleh Russia dan menganjurkan pembunuhan beramai-ramai berskala besar”.
- Podoliak kemudiannya berkata bahawa Sarkozy tidak mempunyai hak untuk “berdagang wilayah orang lain” kerana menyumbang “kepada permulaan pencerobohan berskala penuh di Eropah dan pembunuhan besar-besaran rakyat Ukraine”.
- Sementara itu pada 18 Ogos, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov berkata seruan barat untuk rundingan damai Ukraine adalah “helah taktikal untuk sekali lagi memberi masa kepada tentera Ukraine yang keletihan untuk berkumpul semula, dan mengirimkan lebih banyak senjata dan peluru”.
- Sambil berkata “ini adalah jalan perang, bukan proses penyelesaian keamanan”, Lavrov juga berkata apabila Barat mahukan ‘formula keamanan’ Zelensky dibincangkan di persidangan di Copenhagen dan Jeddah di mana Russia tidak diundang, “ia jelas menunjukkan niat Barat untuk tidak mahu berunding dengan Russia”.
- Menjelaskan lebih lanjut mengenai tema ini dalam temu bual dengan majalah AS Foreign Affairs yang diterbitkan pada hari berikutnya, Lavrov berkata isu gepolitik perlu dibincangkan “bukan dengan [Presiden Ukraine Vladimir] Zelensky, yang merupakan boneka di tangan Barat, tetapi secara langsung dengan tuannya.”
- “Masalahnya, bagaimanapun, ialah AS tidak berhasrat untuk menamatkan konflik,” jelas Lavrov, sambil menyatakan bahawa “objektif mereka yang diisytiharkan secara rasmi adalah ‘kekalahan strategik’ ke atas Russia”.
- Prospek untuk rundingan antara Russia dan Barat “tidak wujud pada masa ini”, tambah Lavrov, manakala “penaja barat Kiev sentiasa mendorong mereka untuk meningkatkan ketegangan”.
- Russia telah berulang kali cuba berunding, dari perjanjian Minsk 2014 dan 2015 kepada “percubaan drastik untuk menyampaikan kebimbangan kami kepada barat” pada Disember 2021, kata Lavrov.
- Barat “dengan angkuhnya menolak” inisiatif Moscow dan sebaliknya meningkatkan penghantaran senjata dan peluru ke Kiev.
- Angela Merkel, bekas canselor Jerman, mengakui pada Disember lalu bahawa perjanjian Minsk 2015 yang dirundingkan oleh Jerman dan Perancis adalah “percubaan untuk memberi masa kepada Ukraine” untuk membina tenteranya.
- Ini kemudiannya disahkan oleh bekas Presiden Perancis Francois Hollande.
- Di tengah-tengah perang pada Mac 2022, rundingan damai antara Russia dan Ukraine tajaan Türkiye telah diadakan di Istanbul, tetapi apabila persetujuan mengenai keamanan dicapai, bekas perdana menteri Britain, Boris Johnson mengagalkannya dengan menghasut Ukraine untuk tidak menandatanganinya dan berjanji sokongan sepenuhnya oleh barat untuk Ukraine.

- Perang Ukraine adalah perang proksi dan perang hibrid. Walaupun mudah untuk memahami maksud perang proksi, perkara yang sama tidak boleh dikatakan tentang perang hibrid. Jadi, apakah itu perang hibrid?
- Perang hibrid menggabungkan tindakan ketenteraan dan bukan ketenteraan, termasuk kempen disinformasi. Menipu penyerang adalah salah satu taktik peperangan hibrid.
- Ia adalah sejenis konflik yang menggabungkan kaedah konvensional dan bukan konvensional, termasuk operasi ketenteraan, perang siber, kempen disinformasi dan tekanan ekonomi.
- Perang ini tidak terhad kepada satu bentuk atau dimensi dan boleh melibatkan gabungan taktik biasa dan taktik luar biasa merentasi semua dimensi peperangan.
- Istilah ‘perang hibrid’ telah digunakan sejak sekurang-kurangnya 2005 apabila ia menggambarkan strategi yang digunakan oleh Hizbullah dalam Perang Lubnan 2006.
- Kemudian terdapat peperangan bukan linear, yang digunakan oleh Ukraine yang mengganggu pemahaman mengenai medan perang tradisional, menjadikannya sukar untuk membezakan antara pejuang dan orang awam atau antara masa perang dan keamanan.
- Peperangan bukan linear menggunakan pendekatan strategi besar, di mana konflik ketenteraan bukan objektif utama. Sebaliknya, matlamatnya adalah untuk mewujudkan situasi yang kompleks dan cair yang mengeksploitasi kelemahan lawan.
- Tetapi semua peperangan sama ada konvensional, proksi, hibrid atau bukan linear mempunyai matlamat utama untuk mencapai kemenangan menyeluruh.
- Cara Ukraine menggunakan peperangan bukan linear telah mengaburkan perbezaan antara perang konvensional dan keganasan.
- Ambil contoh serangan dron baru-baru ini di daerah perniagaan Moscow. Kesemua serangan tersebut tidak mempunyai sebarang objektif ketenteraan dan tidak pula menyumbang kepada mengeksploitasi kelemahan Russia atau mengubah perjalanan perang yang memihak kepada kemenangan Ukraine.
- Objektifnya nampaknya adalah korban awam maksimum dan kerosakan teruk infrastruktur bukan ketenteraan.
- Namun, dengan teknik peperangan elektronik yang unggul dan sistem pertahanan udara yang sangat baik di pihak Russia, selalunya korban awam serangan dron Ukraine ini adalah sifar dan kerosakan infrastruktur bukan ketenteraan tidaklah begitu teruk, sekali gus menafikan objektif kematian maksimum orang awam dan kerosakan bukan tentera yang teruk.
- Berdasarkan keputusan ini, kita pasti tertanya-tanya mengapa Ukraine kini menggunakan peperangan tidak linear ini yang tidak menyumbang sama sekali kepada kemenangannya dalam perang.
- Russia melihat strategi Ukraine ini sebagai bukan strategi sama sekali. Sebaliknya ia melihatnya sebagai tanda terdesak atau buang tebiat perang ekoran kegagalan serang balas Ukraine.
- Tetapi sudah tentu, ia adalah satu perkara yang berbeza jika trajektori dron/peluru berpandu menuju ke arah beberapa objektif ketenteraan dan dalam proses diserang oleh sistem pertahanan udara Russia, serpihan dron yang dijatuhkan terkena infrastruktur awam Russia menyebabkan kematian orang awam.

- Atau isyarat elektronik dron disekat menyebabkan dron tersasar dan kemudiannya merempuh bangunan awam menyebabkan kematian orang awam.
- Dalam kedua-dua kes tersebut, ia adalah peperangan konvensional dengan kehilangan nyawa orang awam dan kemusnahan bangunan awam secara sewenang-wenangnya disifatkan sebagai kerosakan cagaran (collateral damage).
- Bercakap tentang sekatan atau komponen ekonomi perang hibrid ini di Ukraine, Russia agak menjangkakan perang sekatan ini tetapi mungkin magnitud sekatan yang digunakan oleh AS dan sekutu baratnya adalah jauh di luar imaginasi Russia.
- Mengambil petunjuk strategi “kejutan dan kagum” Perang Teluk di Iraq, AS dan sekutu baratnya memperkenalkan sekatan kejutan dan kagum ke atas Russia dalam beberapa hari selepas Operasi Ketenteraan Khas pada Februari 2022.
- Kejutan dan kagum secara teknikalnya dikenali sebagai penguasaan pantas ialah strategi ketenteraan berdasarkan penggunaan kuasa yang luar biasa dan paparan kekuatan yang menakjubkan untuk melumpuhkan persepsi musuh terhadap medan perang dan memusnahkan kehendak mereka untuk berperang.
- Dalam kes Perang Teluk, pembuka tirai untuk perang ini ialah kempen pengeboman yang tidak henti-henti AS dan sekutunya di Baghdad dengan melancarkan kira-kira 1,700 serangan udara (504 menggunakan peluru berpandu jelajah ).
- Sekiranya anda seorang penduduk Baghdad pada masa itu, bayangkan ketakutan dan trauma yang mendalam yang anda akan alami di bawah serangan pengeboman yang berterusan dan tanpa henti ini selama beberapa hari.
- Dengan cara yang sama pada Mac 2022, Russia telah dikenakan lebih 5,000 sekatan yang berbeza, lebih dari gabungan Iran, Venezuela, Myanmar dan Cuba, menjadikannya negara yang paling teruk di dunia yang dikenakan sekatan.
- Pada masa itu, dengan 1,194 sekatan terhadap Moscow, AS adalah negara peneraju sekatan, diikuti oleh Kanada (908) dan Switzerland (824).
- Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Matlamat utama sekatan ini adalah untuk memastikan dengan pantas kelumpuhan ekonomi Russia agar ia tidak lagi dapat menyokong operasi ketenteraan khas.
- AS dan sekutunya juga berharap dengan kelumpuhan ekonomi, akan berlaku kekacauan dan huru-hara di Russia yang membawa kepada perubahan rejim di mana Presiden Russia Vladimir Putin digulingkan, mengakibatkan berakhirnya perang diikuti dengan pembahagian Russia oleh AS dan sekutu baratnya.
- Dan kerana Russia adalah negara yang kaya dengan komoditi dan sumber asli, kekayaan yang besar ini kemudiannya akan diagihkan semula di kalangan AS dan sekutu baratnya sebagai rampasan perang yang mengiringi perubahan rejim.
- Jadi “Projek Ukraine” pada dasarnya adalah skim pelaburan AS dan sekutu baratnya yang bertujuan menewaskan Russia secara strategik demi memperkayakan pemimpin barat dan kompleks industri ketenteraan mereka supaya AS kekal sebagai satu-satunya hegemon dalam dunia unipolar.

- Dalam tempoh awal perang Ukraine inilah, sekatan kejutan dan kagum telah menyebabkan nilai rouble merosot dengan teruknya, lantas presiden Joe Biden dengan girangnya mencipta ungkapan “rouble akan menjadi runtuhan”, dan presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Layen juga dengan girangnya mencipta ungkapan terkenal, “Industri dan ekonomi Russia dalam keadaan compang-camping”.
- Tetapi di bawah kepimpinan luar biasa Putin dan pasukan ekonominya terutamanya Gabenor Bank Pusatnya Elvira Nabiullina, ekonomi dan industri Russia khususnya kompleks perindustrian tenteranya kekal tidak terjejas akibat perang sekatan yang sengit ini.
- Malah berdasarkan laporan terkini World Economics, ia mendedahkan bahawa Russia terus menjadi antara lima ekonomi terbesar dunia dan terbesar di Eropah, menggantikan Jerman dari segi pariti kuasa beli pada akhir 2022, walaupun negara itu sedang menghadapi sekatan Barat, di tengah-tengah perang proksi dan hibrid yang masih dihadapinya.
- World Economics dan badan induknya Informational Sciences adalah entiti berpangkalan di London yang mempunyai pengkhususan selama 30 tahun dalam membangunkan siri data ekonomi yang telah menjadi sebahagian DNA dunia kewangan. Hampir semua bank penting, institusi kewangan, syarikat besar dan kerajaan telah melanggan perkhidmatannya.
- Oleh itu, anda tidak boleh mengatakan bahawa laporan mereka cuba untuk menjilat Russia, dan ia benar-benar menakjubkan untuk mendapati entiti yang berpangkalan di London tidak berat sebelah terhadap Russia tidak seperti media arus perdana UK.
- Jadi apakah resipi rahsia keupayaan Russia untuk menahan sekatan kejutan dan kagum ini dan akhirnya memenangi perang sekatan?
- Jawapannya: Kepimpinan waras. Anda akan mendapati Putin tidak panik atau membentak AS atau barat. Sebaliknya terdapat banyak peristiwa di mana Biden membentak presiden China Xi Jinping dengan cara yang paling keterlaluan dan tidak bermaruah seperti dalam ucapannya pada acara Ucapan Mengenai Keadaan Negara.
- Ingatkah anda kenyataan terkenal Biden yang dilafazkan di luar skrip semasa acara tersebut: “Namakan saya seorang pemimpin dunia yang sanggup bertukar tempat dengan Xi Jinping. Namakan saya satu!”
- Ini hanya akan mengukuhkan lagi hubungan erat antara China dan Russia, dan hubungan rapat inilah yang juga telah membantu Russia mengharungi perang sekatan dengan kemenangan.
- Keupayaan Putin untuk berfikir secara waras dalam keadaan yang sungguh menekan telah membolehkan Russia memperkenalkan beberapa langkah cemerlang untuk menentang sekatan.
- Antara lain ini termasuk mengenakan syarat bagi negara EU yang mahukan gas Russia pada permulaan perang membayar pembelian mereka dalam rouble dan bukannya dolar, di mana kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan saluran paip bekalan gas mereka ditutup, dan menawarkan minyak pada diskaun besar kepada negara Asia dan Afrika di mana ia telah disambut dengan segera dalam kuantiti yang besar oleh India dan China, lantas lebih daripada menggantikan kerugian dalam hasil pendapatan ekoran tiada eksport ke negara EU kerana perang sekatan.

- Russia juga mula menumpukan perhatian kepada laluan perdagangan alternatif untuk menebus kehilangan pasaran Eropah dengan menghidupkan semula idea Koridor Pengangkutan Utara Selatan Antarabangsa (INSTC), yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada Terusan Suez .
- INSTC ialah sistem transit berbilang mod sepanjang 7,200km yang dirancang bagi menghubungkan laluan kapal, kereta api dan jalan raya untuk mengangkut kargo antara Russia, Iran, Azerbaijan, India dan Asia Tengah.
- Pembinaan projek itu bermula pada awal 2000-an, tetapi usaha untuk membangunkannya telah dipergiat selepas sekatan Barat memaksa Moscow mengalihkan aliran perdagangannya dari Eropah ke Asia, Afrika dan Timur Tengah.
- Jumlah aliran kargo di sepanjang INSTC ialah 14.5 juta tan pada 2022, dan unjuran untuk tahun ini ialah 17.6 juta tan. Menjelang 2030, jumlahnya dijangka mencecah 41 juta tan.
- Pada masa ini, hanya beberapa bahagian laluan itu beroperasi, dengan Russia dan Iran bersetuju pada Mei untuk membina landasan kereta api untuk digabungkan ke dalamnya. Moscow merancang melabur lebih US$3 bilion dalam pengembangan projek itu menjelang 2030.
- Russia telah berulang kali mengatakan bahawa laluan itu boleh menjadi pengganti Terusan Suez, laluan air paras laut sepanjang 193km di Mesir yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah.
- Laluan popular antara Eropah dan Asia itu menyaksikan kira-kira 12% perdagangan global melaluinya setiap hari.
- Pada Mac 2021, Terusan Suez telah disekat selama enam hari oleh sebuah kapal kontena yang terkandas. Halangan ini menyebabkan kerugian perdagangan global yang dianggarkan $9 bilion sehari.
- Perdagangan melalui INSTC dijangka membolehkan syarikat mengurangkan kos penghantaran sebanyak kira-kira 50% dan menjimatkan sehingga 20 hari masa perjalanan berbanding laluan Terusan Suez.
- Akhirnya, apa yang berlaku kepada negara-negara yang mengenakan sekatan kejutan dan kagum ke atas Russia?
- Nampaknya mereka kini yang terkejut dan kagum kerana sekatan yang diperkenalkan mereka telah menjadi semacam bumerang yang menghala ke negara mereka.
- Kesemua mereka kini mengalami kadar inflasi yang tinggi termasuk inflasi makanan dua angka dan berada di ambang kemelesetan ekonomi.
- Itulah satu keadilan yang amat manis!

- Perang Ukraine berakar umbi pada kegagalan masa lalu untuk mewujudkan seni bina keselamatan (security architecture) Barat yang mengambil kira kepentingan Moscow ekoran kejatuhan Soviet Union.
- Seni bina keselamatan baharu itu boleh dibentuk sama ada melalui perungkaian Nato sama seperti Perjanjian Warsaw dirungkai, atau Russia dijadikan anggota Nato .
- Quid pro quo – satu istilah Latin yang membawa erti “sesuatu yang dilakukan untuk anda atau diberikan kepada anda sebagai balasan untuk sesuatu yang telah anda lakukan atau berikan untuk orang lain” – ketika itu ialah jika Presiden Mikhail Gorbachev memberikan persetujuannya untuk penyatuan semula Jerman dalam Nato, Barat akan membalasnya dengan mewujudkan seni bina keselamatan Barat yang mengambil kira kepentingan Moscow.
- Terdapat perjanjian budiman (gentleman’s agreement) antara Russia, dan AS dan sekutu baratnya bahawa mereka tidak akan mengembangkan Nato ke arah timur.
- Pada mulanya, Presiden HW Bush dan penggantinya Bill Clinton benar-benar mahu mengubah Nato dan mengambil serius kepentingan Kremlin.
- Namun, terdapat satu percanggahan yang berpotensi ketara: Di satu pihak, semua negara didakwa disatukan oleh “keselamatan yang tidak boleh dibahagikan,” manakala di pihak yang lain, setiap negara didakwa mempunyai hak untuk memutuskan pakatan mana yang ingin disertai.
- Namun, pada masa itu ia tidak lebih daripada satu masalah teori.
- Lebih-lebih lagi, Clinton, Helmut Kohl dan pemimpin barat yang lain telah menghabiskan masa bertahun-tahun menolak keahlian Nato untuk Poland, Hungary dan Republik Czech.
- Perluasan sebegitu ketika itu dilihat sebagai terlalu mahal, demokrasi yang masih baru di negara-negara tersebut kelihatan terlalu rapuh dan tentera mereka terlalu reaksioner.
- AS, UK dan Jerman telah memberi isyarat kepada Kremlin bahawa keahlian Nato negara-negara seperti Poland, Hungary dan Republik Czech adalah di luar persoalan.
- Tambahan pula, pada Mac 1991, Perdana Menteri Britain, John Major berjanji semasa lawatan ke Moscow bahawa “tiada apa-apa seperti itu yang akan berlaku.”
- Masalah kemudian timbul apabila puak Republikan menyedari isu keahlian Nato yang diperluaskan berguna untuk menjaringkan mata politik terhadap Clinton.
- Ramai rakyat Amerika berketurunan Eropah Timur tinggal di negeri-negeri ayunan yang menentukan di Midwest, menyebabkan Clinton akhirnya memutuskan untuk mengembangkan pakatan Nato.
- Presiden Boris Yeltsin, pengganti Gorbachev, melahirkan rasa tidak puas hati yang ketara apabila langkah itu akhirnya diambil. Beliau memberikan persetujuannya untuk pengembangan Nato ke arah timur pada 1997, tetapi mengadu bahawa dia hanya berbuat demikian kerana Barat telah memaksanya.

- Pada akhir Januari 2022, Presiden Russia Valdimir Putin dilaporkan berkata kepada pemimpin barat: “Anda berjanji kepada kami pada 1990-an bahawa (Nato) tidak akan bergerak satu inci ke Timur … Anda menipu kami tanpa rasa malu.”
- Dan Putin menggunakan sejarah itu untuk mewajarkan tuntutannya mengenai jaminan bertulis bahawa Ukraine tidak akan diterima ke dalam pakatan Barat itu.
- Menurut ahli sains politik Amerika John Mearsheimer, “AS pada dasarnya bertanggungjawab menyebabkan krisis Ukraine,” sambil menambah lagi bahawa:
- “Pandangan utama saya ialah AS telah memajukan dasar ke arah Ukraine yang Putin dan pemimpin Russia lain melihat sebagai ancaman kewujudan (existential threat), satu perkara yang telah mereka mendakwa buat berulang kali selama bertahun-tahun.
- “Secara khusus, saya bercakap tentang ketaksuban Amerika untuk membawa Ukraine ke Nato dan menjadikannya benteng Barat di sempadan Russia.
- “Pentadbiran Biden tidak mahu menghapuskan ancaman itu melalui diplomasi dan sememangnya pada 2021 membuat komitmen semula bahawa AS akan membawa Ukraine ke dalam Nato. Putin bertindak balas dengan menyerang Ukraine pada 24 Feb tahun ini (2022).”
- Majoriti analisis mengenai perang Ukraine yang dilakukan oleh sarjana barat jelas tidak menunjukkan peranan Barat dalam mencetuskan konflik, tetapi sekali-sekala kita dapat menyaksikan kemunculan sarjana seperti Mearsheimer dan Marlene Laruelle yang merasakan Barat perlu mempertimbangkan peranannya sendiri dalam mencetuskan perang Ukraine.
- Oleh itu mereka yang percaya perang Ukraine adalah satu perang tanpa provokasi adalah terlalu naif. Bagaimanapun, ketaksuban membawa Ukraine ke dalam Nato bukanlah satu-satunya provokasi.
- Perang Ukraine sendiri tidak bermula pada Februari 2022. Ia merupakan satu pemikiran singkat jika kita percaya perang bermula ketika itu.
- Sebaliknya ia bermula lapan tahun sebelum itu pada Februari 2014 selepas Revolusi Maidan di mana seorang presiden Ukraine yang dipilih secara demokratik telah digulingkan dengan campur tangan AS.
- Pada akhir 2013, Ukraine di bawah presiden Viktor Yanukovych berada dalam keadaan sukar bagai “ditelan pahit, dibuang sayang”.
- Terdapat perebutan pengaruh antara Russia dan EU apabila perdana menteri Ukraine ketika itu Mykola Azarov meminta €20 bilion (AS$27 bilion) dalam bentuk pinjaman dan bantuan.
- EU bersedia menawarkan pinjaman €610 juta (AS$838 juta), tetapi Russia bersedia menawarkan lebih banyak iaitu AS$15 bilion serta harga gas yang lebih murah.
- Di samping itu, EU menuntut perubahan besar kepada peraturan dan undang-undang Ukraine, tetapi Russia tidak.
- Seperti yang dijangkakan, Yanukovych kemudiannya enggan menandatangani perjanjian persatuan politik dan perdagangan bebas dengan EU pada mesyuarat Perkongsian Timur di Vilnius, Lithuania, pada November 2013.

- Sebaliknya, belier memilih untuk menjalin hubungan yang lebih erat dengan Russia dan Kesatuan Ekonomi Eurasia.
- Ini membawa kepada gelombang protes besar-besaran yang dikenali sebagai Euromaidan, yang berlangsung selama berbulan-bulan sebagai permulaan kepada Revolusi Maidan pada Februari 2014 di mana pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis rusuhan khas menjadi ganas, mengakibatkan kematian hampir 130 orang, termasuk 18 pegawai polis.
- Pada asasnya, penduduk di barat Ukraine mengutamakan perjanjian dengan EU, manakala mereka di timur dan selatan mengutamakan hubungan yang lebih rapat dengan Russia.
- Susulan rusuhan berdarah itu, pada 21 Feb Yanukovych dan pemimpin pembangkang parlimen menandatangani perjanjian penyelesaian yang menggesa pilihan raya awal diadakan.
- Namun, keesokan harinya, Yanukovych melarikan diri dari ibu negara menjelang undian pemecatan yang melucutkan kuasanya sebagai presiden.
- Lebih memburukkan keadaan, sejurus selepas penggulingannya, wilayah timur dan selatan Ukraine meletus dengan pergolakan pro-Russia, dengan para pemimpin wilayah timur Ukraine yang berbahasa Russia mengisytiharkan kesetiaan berterusan mereka kepada Yanukovych.
- Pada 23 Feb, Parlimen Ukraine memperkenalkan rang undang-undang untuk memansuhkan undang-undang 2012 yang memberikan bahasa Russia status rasmi.
- Walaupun rang undang-undang itu akhirnya tidak digubal, cadangan itu menimbulkan reaksi negatif di wilayah berbahasa Russia di Ukraine, diperburukkan oleh media Russia yang mendakwa penduduk etnik Russia berada dalam bahaya.
- Pada 27 Feb, kerajaan sementara telah ditubuhkan dan pilihan raya presiden yang lebih awal telah dijadualkan.
- Bagaimanapun, keesokan harinya, Yanukovych muncul semula di Russia dan mengisytiharkan dalam sidang akhbar bahawa dia kekal sebagai pemangku presiden Ukraine, sedang Russia memulakan kempen ketenteraannya secara terang-terangan di Crimea.
- Russia menganggap penggulingan Yanukovych sebagai rampasan kuasa haram dan tidak mengiktiraf kerajaan sementara.
- Pada 1 Mac, Parlimen Russia meluluskan permintaan presidennya Vladimir Putin untuk mengerahkan tentera Russia ke Ukraine.
- Ia menghantar tenteranya ke timur Ukraine untuk menyokong pemisah pro-Russia yang pada masa itu telah membentuk Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk di timur Ukraine, yang secara kolektif dikenali sebagai Donbas.
- Ini sebenarnya adalah permulaan perang Russia-Ukraine, yang berlangsung selama beberapa bulan sebelum gencatan senjata dilaksanakan di bawah perjanjian Minsk yang dirundingkan oleh Jerman dan Perancis pada Mei 2014.
- Pengerahan tentera Russia di Ukraine juga membawa kepada penawanan Crimea oleh Russia. Tetapi mengapakah Putin melakukan ini?
- Memandangkan Crimea adalah tuan rumah kepada Armada Laut Hitam Russia di Sevastopol, mungkin Putin secara firasat sedar campur tangan AS di Ukraine yang telah membawa kepada perubahan rejim melalui revolusi warna (Revolusi Maidan) bermatlamat menjadikan Sevastopol sebagai pangkalan Tentera Laut AS.
- Mungkin untuk mencegah perkara ini berlaku, Russia menawan Crimea dan kemudiannya menggabungkannya dalam wilayahnya melalui satu pungutan suara.
- Tetapi di manakah campur tangan AS dalam semua peristiwa ini?
- Revolusi warna bermula pada Disember 2013 dengan kemunculan Senator Republikan AS John McCain bersama Senator Demokrat Chris Murphy di Ukraine untuk menghasut para penunjuk perasaan.

- McCain ketika itu dilaporkan membakar semangat penunjuk perasaan dengan berkata:
- “Ukraine akan menjadikan Eropah lebih baik dan Eropah akan menjadikan Ukraine lebih baik. Kami berada di sini untuk menyokong perjuangan adil anda: hak kedaulatan Ukraine untuk menentukan nasibnya sendiri secara bebas dan berdaulat. Dan takdir yang anda cari terletak di Eropah.”
- Kemudian, terdapat pula rakaman perbualan telefon yang dibocorkan pada 4 Feb 2014, antara penolong setiausaha Negara AS Victoria Nuland dan Duta AS ke Ukraine Geoffrey Pyatt membincangkan hasrat mereka untuk peralihan Ukraine kepada kerajaan sementara, dan khususnya, peranan yang mereka harapkan dapat dimainkan oleh para pemimpin pembangkang yang terkemuka.
- Ini jelas mencampuri urusan dalaman negara yang berdaulat walaupun matlamat mereka adalah untuk melindungi nilai demokrasi Barat.
- Editor anda sering tertanya-tanya mengapa Presiden Yanukovych ketika itu tidak cukup tegas untuk menahan kedua-dua ahli politik AS itu kerana campur tangan dalam ehwal dalaman negaranya.
- Pada peringkat awal Operasi Ketenteraan Khas (SMO), Putin tidak berminat dengan pemecahan Ukraine.
- Apa yang dia mahukan ialah Lugansk dan Donetsk masih berada di bawah kekuasaan Ukraine tetapi dengan status autonomi khas untuk melindungi orang berbahasa Russia di sana, serta budaya dan bahasa Russia.
- Itulah sebabnya Russia bersetuju dengan Perjanjian Minsk yang dirundingkan Jerman dan Perancis. Malah Russia yang memulakan langkah untuk persetujuan Minsk disahkan oleh Majlis Keselamatan PBB.
- Selepas lapan tahun perjanjian Minsk yang gencatan senjatanya terus dicabuli oleh kedua-dua pihak – Ukraine dan dua negara pemisah Lugansk dan Donetsk – Russia sekali lagi menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Feb 2022, dengan memetik kegagalan Kiev melaksanakan perjanjian Minsk, yang bertujuan memberikan wilayah Donetsk dan Lugansk status istimewa dalam Ukraine.
- Ketika itu Putin tidak menyedari bahawa dia sebenarnya “diperdayakan” oleh Jerman dan Perancis kerana kedua-dua negara itu mempunyai idea yang berbeza dalam memperantarai Perjanjian Minsk.
- Kedua-dua canselor Jerman ketika itu Angela Merkel, dan bekas presiden Perancis ketika itu Francois Hollande mengakui pada Disember lalu bahawa perjanjian Minsk 2015 adalah “percubaan untuk memberi masa kepada Ukraine” untuk membina tenteranya.
- Sebelum pengakuan ini, bekas presiden Ukraine Pyotr Poroshenko telah mengakui bahawa matlamat utama Kiev ketika itu adalah untuk menggunakan gencatan senjata untuk membeli masa dan “mewujudkan angkatan bersenjata yang kuat.”
- Walaupun Putin tidak menyedari muslihat Merkel dan Hollande ketika itu, namun perkara pertama yang dilakukan Russia sejurus sebelum melancarkan SMO ialah mengiktiraf kemerdekaan Republik Rakyat Luhansk dan Republik Rakyat Donetsk.
- Ini adalah petunjuk bahawa Putin sudah muak dengan perjanjian Minsk kerana kegagalannya untuk menghalang pengeboman berterusan orang-orang berbahasa Russia di Donbas selama lapan tahun berturut-turut, dan penindasan ganas orang-orang ini oleh militia neo-Nazi yang telah digabungkan ke dalam tentera Ukraine.
- Objektif, strategi dan taktik ketenteraan Russia dalam perang Ukraine sentiasa dilakarkan secara konsisten berdasarkan objektif SMO seperti yang dinyatakan oleh Putin – untuk melindungi orang-orang di Donbas yang telah mengalami penindasan dan pembunuhan beramai-ramai selama lapan tahun sejak 2014 melalui demilitarisasi dan denazifikasi Ukraine.
- Kita boleh mengambil objektif demilitarisasi sebagai bermaksud matlamat menjadikan Ukraine negara neutral sebagai sebahagian seni bina keselamatan barat baharu yang mengambil kira kepentingan Moscow.

- Berdasarkan objektif ini, Russia mengerahkan 200,000 tentera ke Ukraine pada hari pertama SMO, dengan beberapa tentera meneruskan perjalanan ke Kiev dan sebahagian besar tentera ke Donbas.
- Pengerahan tenteranya ke Kiev bertujuan untuk menunjukkan kekuatan kilat “memaksa” Ukraine supaya bersetuju dengan rundingan bagi memastikan negara itu berkecuali manakala tentera yang dikerahkan ke Donbas adalah untuk memastikan kesungguhan Ukraine mematuhi perjanjian Minsk.
- Perancang tentera Russia sedar ia memerlukan lebih 200,000 tentera untuk menawan Kiev, dan Putin telah menjelaskan bahawa menakluki Kiev bukanlah objektifnya.
- Pada dasarnya, Donbaslah yang sentiasa menjadi objektif utama Russia, sekiranya Ukraine tidak serius mematuhi perjanjian Minsk.
- Apabila rundingan di Istanbul pada Mac antara Russia dan Ukraine yang ditaja Türkiye menunjukkan bahawa Ukraine bersetuju dengan perjanjian damai, Russia mengumumkan rancangannya untuk mengundurkan tenteranya dari Kiev sebagai ihsan dengan niat baik.
- Tetapi apabila perjanjian damai itu digelincirkan oleh Boris Johnson, Russia masih meneruskan rancangan penarikan tenteranya dari Kiev. Mereka menyertai baki tentera di Donbas.
- Pengunduran ini mempunyai nilai ketenteraan kerana strategi Russia berundur untuk memberi tumpuan kepada Donbas adalah apa yang disifatkan oleh pakar tentera sebagai operasi pemakuan; iaitu memastikan tentera Ukraine terpaku dengan “membebaskan semula” kawasan yang tentera Russia telah berundur sehingga tidak mengukuhkan tenteranya dengan unit tambahan di Donbas untuk menghadapi pertempuran sebenar.
- Strategi tersebut telah membolehkan Russia menguasai lebih banyak wilayah Ukraine berbanding sebelum 24 Feb.
- Ini terbukti apabila tentera Russia berjaya menawan 95% wilayah Luhansk seperti yang dinyatakan oleh Institut Kajian Perang yang berpangkalan di Washington berbanding dengan 60% yang dikuasai oleh Ukraine sebelum pencerobohan Februari.
- Tetapi adalah cukup menghairankan apabila Ukraine dan media arus perdana global telah menggambarkan ini sebagai Pengepungan Kiev, di mana tentera Ukraine dilihat mempamerkan daya tahan yang mengejutkan untuk meraih kemenangan awal.
- Apa yang sebenarnya berlaku ialah apabila Russia berundur dari Kiev, ia meninggalkan kekosongan di sana, yang mudah diisi oleh tentera Ukraine tanpa pertempuran. Adakah anda menyebut ini sebagai kemenangan bermakna bagi Ukraine apabila tidak menghadapi sebarang pertempuran untuk menakluki semula Kiev?
- Menjelang Jun 2022, dalam pusingan pertama pertempuran, Russia telah berjaya menawan lebih banyak wilayah Ukraine serta melemahkan angkatan bersenjata yang kuat yang telah diwujudkan Ukraine dengan bantuan AS dan sekutunya selama lapan tahun perjanjian Minsk.
- Tetapi perang itu berpanjangan kerana penghantaran senjata berterusan ke Ukraine oleh AS dan sekutu baratnya.
- Selain itu, keputusan tentang jenis senjata yang boleh dibekalkan telah berubah dari masa ke semasa. Pada mulanya terdapat beberapa “Garisan Merah” Russia mengenai amaran membekalkan jenis senjata maut tertentu.
- Lama kelamaan beberapa garis merah ini telah cair yang membolehkan senjata dihantar tanpa terlalu banyak ancaman pembalasan atau akibat yang mengerikan kepada pembekal.
- Menjelang Ogos, Russia telah pun merasai tekanan dalam penghantaran senjata ini, dan bilangan tenteranya di Ukraine tidak mencukupi untuk menghadapi perang yang berpanjangan ini. Lebih-lebih lagi Ukraine mempunyai kekuatan angka yang unggul di medan perang.

- Oleh itu Russia memperkenalkan taktik ketenteraan untuk mengundurkan tenteranya dari kawasan yang didudukinya apabila ia mendapati mempertahankan kawasan tersebut akan menyebabkan ramai askarnya terkorban dan peralatan tenteranya musnah.
- Jadi fasa perang seterusnya menyaksikan Russia berundur dari beberapa kawasan di Ukraine dengan tentera dan peralatan tenteranya utuh sebelum Ukraine memulakan serangan balasnya untuk menawan semula Kharkiv.
- Lantaran itu adalah mudah bagi Ukraine untuk menawan semula Kharkiv semasa serangan balasnya pada September tetapi kerana kekuatan tentera Russia dan peralatan tentera mereka kekal utuh dari kedudukan pertahanan mereka di seberang Sungai Dniper, ramai tentera Ukraine terkorban dan banyak peralatan tenteranya musnah semasa serangan balas itu.
- Tetapi perkara yang menakjubkan adalah Ukraine dan sekutu baratnya melihat pengunduran tersebut sebagai bukti tentera Russia begitu lemah dan akan tergesa-gesa bersurai dan melarikan diri ketakutan apabila tentera Ukraine muncul.
- Mitos ini menjadi asas perancangan untuk serangan balas Jun baru-baru ini di mana Ukraine telah mengalami angka korban tentera yang tinggi, di samping kemusnahan banyak peralatan perangnya.
- Tidak lama selepas serangan balas Kharkiv, Russia melakukan tiga perkara yang akan meneruskan keunggulannya di medan perang yang mungkin akan membawa kemenangan kepadanya – pengerahan 300,000 tentera, menggabungkan empat wilayah Ukraine – Donetsk , Kherson , Luhansk dan Zaporizhzhia – sebagai wilayah Russia sejajar dengan undang-undang dan perlembagaan Russia, dan membina kubu pertahanan yang kukuh dan luas di sepanjang garisan konflik.
- Dan sekitar masa inilah media arus perdana global mula menyiarkan berita tentang Ukraine kekurangan peluru, peralatan ketenteraan dan tentera untuk meneruskan perang.
- Tetapi ini tidak begitu serius berbanding berita bahawa AS dan sekutu baratnya juga menghadapi kekurangan peluru dan senjata untuk dibekalkan ke Ukraine.
- Menurut Alexander Mercouris dari Duran, saluran berita bebas dalam talian, ini berlaku kerana penyahindustrian AS dan Barat terutamanya kompleks industri ketenteraan mereka di mana ia tidak lagi boleh menghasilkan peluru dan senjata secepat yang dikehendaki oleh Pentagon.
- Bagaimanakah sebuah negara boleh memenangi peperangan dengan kehabisan dan kekurangan peluru dan senjata? Jadi adalah lebih baik untuk AS dan sekutu baratnya berunding dengan Russia sebelum lebih banyak kerosakan kepada Ukraine berlaku.
- Dengan kegagalan serangan balas Ukraine pada Jun, dunia kini tidak sabar lagi menunggu serangan balas Russia yang mungkin boleh menamatkan perang Ukraine.

Baca lebih lanjut mengenai serangan balas Ukraine, penyelesaian jalan susur, serangan dron di daerah perniagaan Russia, perang sekatan dan seni bina keselamatan barat:
Ukraine’s Counteroffensive Needs a Plan B
Public mood in Ukraine ‘somber’ amid ‘sluggish’ counteroffensive – The Economist
Slow counteroffensive darkens mood in Ukraine
‘Nowhere to hide’: The question troubling Ukrainian troops amid a grinding counteroffensive
Ukrainian counteroffensive’s slow going offers reality check but could yet pay off
Ukraine’s sluggish counter-offensive is souring the public mood
CIA knows Ukraine’s counteroffensive will fail – Seymour Hersh
Moscow issues update on estimated Ukrainian casualties during counteroffensive
NATO’s Ukraine strategy has failed – ex-Italian PM
Diplomacy Watch: Washington may deny it, but looks like someone wants to talk to Russia
Ukraine could give up demands for Russian territory – NATO official
France’s Sarkozy urges West to get real on Crimea
Washington believes Ukraine’s attacks on Crimea are pointless – CNN
Foreign mercenaries reveal shocking casualty rates in Ukraine – media
Ukraine war: Putin’s off ramp and why he is unlikely to take it
Can the US and Russia find a diplomatic ‘off-ramp’ on Ukraine?
Pentagon facing ammunition crisis – WaPo
US doesn’t have enough ballistic missiles for Ukraine – FT
The Causes and Consequences of the Ukraine War
Russia expert: West needs to self-reflect on its own responsibility in Ukraine war
Russia suggests alternative to Suez Canal
Moscow and Tehran sign key rail deal
India and Iran stepping up efforts to route shipments via Chabahar port

Amerika Syarikat (AS) dan sekutu baratnya bersama-sama dengan Ukraine yang merancang dengan teliti untuk serangan balas Ukraine bermula pada 4 Jun, agak berkhayal dalam ramalan yakin mereka bahawa dalam tempoh empat minggu serangan balas itu Rusia akan menyerah kalah, dengan Ukraine menawan Crimea.
Pada April lalu, seperti penjudi mabuk yang mula menghitung kemenangannya sebelum perjudian bermula, ramai pegawai Ukraine seperti ketua perisikan tenteranya Kyrylo Budanov telah berkata kebanyakan rakyat Ukraine termasuk dirinya sendiri akan menikmati percutian musim panas dengan berkelah, berperahu dan memancing di destinasi percutian yang indah yang sememangnya Crimea terkenal, kerana pada masa itu Crimea akan berada dalam genggaman Ukraine.
Sungguh menakjubkan AS dan sekutu baratnya benar-benar percaya dan tertipu oleh input Ukraine dalam kisah dongeng itu; mungkin dalam kes AS kerana simbolisme bahawa hari kemenangan V-Day akan jatuh pada 4 Julai – Hari Kemerdekaan AS.
Lebih dua bulan kemudian pada Ogos, kita akhirnya mendapati AS dan sekutu baratnya, termasuk media arus perdana global yang kini waras dapat menerima hakikat bahawa serangan balas itu ternyata gagal, dan Russia kekal utuh di medan perang.
AS dan sekutu baratnya termasuk Ukraine kini sedang berbalah sesama sendiri mengenai kegagalan serangan balas itu setelah banyak gembar-gembur dan publisiti mengenai kejayaannya diwarwarkan beberapa bulan sebelumnya ala filem Hollywood yang presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, seorang pelawak profesional gemar.
Kambing hitam kegagalan serangan balas itu nampaknya jatuh pada ketua komander tentera Ukraine, Jeneral Valery Zaluzhny , yang secara ironisnya sebelum ini menentang pelancaran serangan balas itu, dan kemudian apabila ia ternyata gagal kini pula menggalakkan ia diteruskan selama yang diperlukan, walaupun Ukraine menderita kehilangan yang mengerikan dalam jumlah tentera yang terkorban dan jumlah peralatan ketenteraanya musnah dalam serangan balas tersebut.
Mungkin seorang lagi yang harus dijadikan kambing hitam ialah Budanov, yang telah memberi agensi perisikan AS dan sekutunya, dan media arus perdana global maklum balas dan analisis yang mengelirukan tentang bagaimana serangan balas itu akan mencapai kejayaan besar.
AS dan sekutunya telah membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk melengkapkan Ukraine dengan senjata canggih di mana setiap pakej penghantaran senjata baharu yang diumumkan – dari kereta kebal Leopard Jerman; kereta kebal British Challenger, peluru berpandu Storm Shadow jarak jauh dan uranium terurai (depleted uranium); kepada sistem pertahanan udara Patriot AS dan peluru berangkainya (cluster munition) – digembar-gemburkan oleh media arus perdana global sebagai senjata ajaib penukar permainan yang akan memastikan kemenangan Ukraine.
Tetapi di sebalik semua ini, AS dan sekutu baratnya masih tidak dapat membawa Russia bertekuk lutut.

Dengan pilihan raya presiden AS yang semakin hampir pada 2024, pentadbiran Biden bimbang untuk tidak menjadikan projek Ukraine sebagai bencana.
Lantaran itu, Jake Sullivan, Penasihat Keselamatan Negara AS dan orang penting dalam kempen pemilihan semula Biden cukup terdesak untuk memikirkan apa sahaja rancangan yang diperlukan untuk mengelakkan malapetaka seperti itu.
Satu rancangan itu ialah menganjurkan persidangan Jeddah untuk meyakinkan semua negara berkecuali memaksa Russia menyerah kalah dengan membincangkan rancangan damai Zelensky yang bukan rancangan damai sama sekali tetapi rancangan penyerahan diri, yang mana satu pihak utama dalam konflik itu, Russia tidak diundang.
Dengan kegagalan persidangan Jeddah di mana tuan rumah Arab Saudi sendiri telah mengetengahkan rancangan damainya sendiri yang jauh berbeza dengan rancangan damai Zelensky, mereka kini terdesak untuk mencari penyelesaian “jalan susur” (off-ramp) dalam konflik itu.
Penyelesain jalan susur dalam bahasa diplomasi bermaksud rundingan yang membawa kepada pembekuan konflik yang didahului oleh gencatan senjata bertujuan melindungi air muka pihak yang tewas.
Satu contoh klasik konflik beku ialah perang Korea pada 1950-an di mana proksi utama perang – AS dan China – bersetuju untuk membekukan konflik demi menyelamatkan AS daripada keaiban ditewaskan oleh China.
Jadi, kerana ia adalah konflik beku, Korea Utara dan Korea Selatan sehingga hari ini secara teknikal berperang, kerana konflik itu dibekukan tanpa perjanjian damai antara mereka.
Pada masa ini, satu penyelesaian jalan susur ialah idea memperdagangkan tuntutan tanah untuk keamanan di mana Kiev akhirnya melepaskan tuntutan wilayah Russia sebagai pertukaran untuk keahlian Nato.
Idea ini dicetuskan oleh beberapa badan pemikir AS dan Eropah dan menjadi konkrit pada 15 Ogos oleh Stian Jenssen, ketua kakitangan setiausaha agung NATO Jens Stoltenberg.
Tetapi Ukraine dengan pendirian maksimalnya yang mahukan semua tentera Russia berundur ke sempadan 1991, telah mengecam sekeras-kerasnya, memaksa Jenssen meminta maaf kerana mengemukakan idea itu.
Russia langsung tidak memberikan komennya kerana salah satu sebab operasi ketenteraan khasnya adalah untuk memastikan Ukraine berkecuali dengan tidak menjadi anggota Nato .
Lebih-lebih lagi, terdapat unsur “rasuah” seolah-olah Russia akan didorong oleh habuan “merampas” lebih banyak tanah sebagai balasan untuk keamanan.
Cadangan serupa didakwa oleh akhbar Swiss Neue Zürcher Zeitung pada Februari bahawa Pengarah CIA William Burns telah menawarkan Russia satu perjanjian “tanah untuk keamanan” di mana Russia akan memiliki “20% wilayah Ukraine.”
Namun, Rumah Putih, CIA, dan Kremlin semuanya menafikan bahawa cadangan sedemikian telah dibuat. Begitulah sifat penyelesaian jalan susur – mudah dinafikan.
Satu lagi penyelesaian jalan susur adalah untuk Ukraine melupakan sahaja serangan balas dan pendirian maksimalnya dan hanya mempertahankan wilayahnya yang kini tidak ditawan oleh Russia, dan kemudian berunding untuk gencatan senjata, dengan Ukraine bersaiz lebih kecil kemudiannya memohon untuk keanggotaan Nato.
Terdapat lagi satu penyelesaian jalan susur, kali ini dicadangkan oleh mantan presiden Perancis Nicolas Sarkozy untuk satu siri pungutan suara diadakan di bawah kawalan antarabangsa yang “ketat” di empat wilayah baharu Russia dan Crimea.
Tindakan sedemikian, Sarkozy mendakwa akan membolehkan pertikaian wilayah antara kedua-dua jiran diselesaikan dan mengelakkan pembekuan konflik.

Sementara itu pada 18 Ogos, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov berkata seruan barat untuk rundingan damai Ukraine adalah “helah taktikal untuk sekali lagi memberi masa kepada tentera Ukraine yang keletihan untuk berkumpul semula, dan mengirimkan lebih banyak senjata dan peluru”.
Sambil berkata “ini adalah jalan perang, bukan proses penyelesaian keamanan”, Lavrov juga berkata apabila Barat berdegil mahukan ‘formula keamanan’ Zelensky dibincangkan di mesyuarat di Copenhagen dan Jeddah di mana Russia tidak diundang, “ia jelas menunjukkan niat Barat untuk tidak mahu berunding dengan Russia”.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai tema ini dalam temu bual dengan majalah AS Foreign Affairs yang diterbitkan pada hari berikutnya, Lavrov berkata isu gepolitik perlu dibincangkan, namun “bukan dengan [Presiden Ukraine Vladimir] Zelensky, yang merupakan boneka di tangan Barat, tetapi secara langsung dengan tuannya.”
“Masalahnya, bagaimanapun, ialah AS tidak berhasrat untuk menamatkan konflik,” jelas Lavrov, sambil menyatakan bahawa “objektif mereka yang diisytiharkan secara rasmi adalah ‘kekalahan strategik’ ke atas Russia”.
Prospek untuk rundingan damai antara Russia dan Barat “tidak wujud pada masa ini”, tambah Lavrov, manakala “penaja barat Kiev sentiasa mendorong mereka untuk meningkatkan ketegangan”.
Russia telah berulang kali cuba berunding, dari perjanjian Minsk 2014 dan 2015 kepada “percubaan drastik untuk menyampaikan kebimbangan kami kepada barat” pada Disember 2021, kata Lavrov.
Barat “dengan angkuhnya menolak” inisiatif Moscow dan sebaliknya meningkatkan penghantaran senjata dan peluru ke Kiev.
Angela Merkel, bekas canselor Jerman, mengakui pada Disember lalu bahawa perjanjian Minsk 2015 yang dirundingkan oleh Jerman dan Perancis adalah “percubaan untuk memberi masa kepada Ukraine” untuk membina tenteranya.
Ini kemudiannya disahkan oleh bekas Presiden Perancis Francois Hollande.
Di tengah-tengah perang pada Mac 2022, rundingan damai antara Russia dan Ukraine tajaan Türkiye telah diadakan di Istanbul, tetapi apabila persetujuan mengenai keamanan dicapai, bekas perdana menteri Britain, Boris Johnson mengagalkannya dengan menghasut Ukraine untuk tidak menandatanganinya dan berjanji sokongan sepenuhnya oleh barat untuk Ukraine.
Bercakap tentang sekatan atau komponen ekonomi perang hibrid di Ukraine, Russia menjangkakan perang sekatan ini tetapi mungkin magnitud sekatan yang digunakan oleh AS dan sekutu baratnya jauh di luar imaginasi Russia.
Dengan lebih daripada 1,194 sekatan terhadap Moscow, AS adalah negara peneraju sekatan, diikuti oleh Kanada (908) dan Switzerland (824).
Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Matlamat utama sekatan ini adalah untuk memastikan dengan segera kelumpuhan ekonomi Russia agar ia tidak lagi dapat menyokong operasi ketenteraan khas.
AS dan sekutunya juga berharap dengan kelumpuhan ekonomi, akan berlaku kekacauan dan huru-hara di Russia yang membawa kepada perubahan rejim di mana Presiden Russia Vladimir Putin digulingkan, mengakibatkan berakhirnya perang diikuti dengan pembahagian Russia oleh AS dan sekutu baratnya.
Dan oleh kerana Russia adalah negara yang kaya dengan komoditi dan sumber asli, kekayaan yang besar ini kemudiannya akan diagihkan semula di kalangan AS dan sekutu baratnya sebagai rampasan perang yang mengiringi perubahan rejim.
Jadi “Projek Ukraine” pada dasarnya adalah skim pelaburan AS dan sekutu baratnya yang bertujuan menewaskan Russia secara strategik demi memperkayakan pemimpin barat dan kompleks industri ketenteraan mereka supaya AS kekal sebagai satu-satunya hegemon dalam dunia unipolar.

Dalam tempoh awal perang Ukraine inilah, sekatan kejutan dan kagum ini telah menyebabkan nilai rouble merosot dengan teruknya, lantas presiden Joe Biden dengan girangnya mencipta ungkapan “rouble akan menjadi runtuhan”, dan presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Layen juga dengan girangnya mencipta ungkapan terkenal, “industri dan ekonomi Russia dalam keadaan compang-camping”.
Tetapi di bawah kepimpinan luar biasa Putin dan pasukan ekonominya terutamanya Gabenor Bank Pusatnya Elvira Nabiullina, ekonomi dan industri Russia khususnya kompleks perindustrian tenteranya kekal tidak terjejas akibat perang sekatan yang sengit ini.
Malah berdasarkan laporan terkini World Economics, ia mendedahkan bahawa Russia terus menjadi antara lima ekonomi terbesar dunia dan terbesar di Eropah, menggantikan Jerman dari segi pariti kuasa beli pada akhir 2022, walaupun negara itu sedang menghadapi sekatan barat, di tengah-tengah perang proksi dan hibrid yang masih dihadapinya.
Jadi apakah resipi rahsia keupayaan Russia untuk menahan sekatan kejutan dan kagum ini dan akhirnya memenangi perang sekatan?
Jawapannya: Kepimpinan waras. Anda akan mendapati Putin tidak panik atau membentak AS atau barat. Sebaliknya terdapat banyak peristiwa di mana Biden membentak presiden China Xi Jinping dengan cara yang paling keterlaluan dan tidak bermaruah seperti dalam ucapannya pada acara Ucapan Mengenai Keadaan Negara.
Ingatkah anda kenyataan terkenal Biden yang dilafazkan di luar skrip semasa acara tersebut: “Namakan saya seorang pemimpin dunia yang sanggup bertukar tempat dengan Xi Jinping. Namakan saya satu!”
Ini hanya akan mengukuhkan lagi hubungan erat antara China dan Russia, dan hubungan rapat inilah yang juga telah membantu Russia mengharungi perang sekatan dengan kemenangan.
Keupayaan Putin untuk berfikir secara waras dalam keadaan yang sungguh menekan telah membolehkan Russia memperkenalkan beberapa langkah cemerlang untuk menentang sekatan.
Antara lain ini termasuk mengenakan syarat bagi negara EU yang mahukan gas Russia pada permulaan perang membayar pembelian mereka dalam rouble dan bukannya dolar, di mana kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan saluran paip bekalan gas mereka ditutup, dan menawarkan minyak pada diskaun besar kepada negara Asia dan Afrika di mana ia telah disambut dengan segera dalam kuantiti yang besar oleh India dan China, lantas lebih daripada menggantikan kerugian dalam hasil pendapatan ekoran tiada eksport ke negara EU kerana perang sekatan.
Russia juga mula menumpukan perhatian kepada laluan perdagangan alternatif untuk menebus kehilangan pasaran Eropah dengan menghidupkan semula idea Koridor Pengangkutan Selatan Utara Antarabangsa (INSTC), yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada Terusan Suez.
INSTC ialah sistem transit berbilang mod sepanjang 7,200km yang dirancang bagi menghubungkan laluan kapal, kereta api dan jalan untuk mengangkut kargo antara Russia, Iran, Azerbaijan, India dan Asia Tengah.
Pembinaan projek itu bermula pada awal 2000-an, tetapi usaha untuk membangunkannya telah dipergiat selepas sekatan Barat memaksa Moscow mengalihkan aliran perdagangannya dari Eropah ke Asia, Afrika dan Timur Tengah.
Jumlah aliran kargo di sepanjang INSTC ialah 14.5 juta tan pada 2022, dan unjuran untuk tahun ini ialah 17.6 juta tan. Menjelang 2030, jumlahnya dijangka mencecah 41 juta tan.
Pada masa ini, hanya beberapa bahagian laluan itu beroperasi, dengan Russia dan Iran bersetuju pada Mei untuk membina landasan kereta api untuk digabungkan ke dalamnya. Moscow merancang melabur lebih $3 bilion dalam pengembangan projek itu menjelang 2030.

Russia telah berulang kali mengatakan bahawa laluan itu boleh menjadi pengganti Terusan Suez, laluan air paras laut sepanjang 193km di Mesir yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah.
Laluan popular antara Eropah dan Asia itu menyaksikan kira-kira 12% perdagangan global melaluinya setiap hari.
Pada Mac 2021, Terusan Suez telah disekat selama enam hari oleh sebuah kapal kontena yang terkandas. Halangan ini menyebabkan kerugian perdagangan global dianggarkan $9 bilion sehari.
Perdagangan melalui INSTC dijangka membolehkan syarikat mengurangkan kos penghantaran sebanyak kira-kira 50% dan menjimatkan sehingga 20 hari masa perjalanan berbanding laluan Terusan Suez.
Akhirnya, apa yang berlaku kepada negara-negara yang mengenakan sekatan kejutan dan kagum ke atas Russia?
Nampaknya mereka kini terkejut dan kagum kerana sekatan yang diperkenalkan mereka telah menjadi semacam bumerang yang menghala ke negara mereka.
Kesemua mereka kini mengalami kadar inflasi yang tinggi termasuk inflasi makanan dua angka dan berada di ambang kemelesetan ekonomi.
Di medan perang pula, Ukraine mengalami malapetaka teruk apabila serangan balasnya baru-baru ini mengakibatkannya menimpa korban tentera dan kemusnahan peralatan tentera yang amat besar.
Di samping itu, bukan sahaja Ukraine berada dalam keadaan teruk kekurangan peluru dan senjata, lebih serius lagi ialah penaja baratnya juga menghadapi kekurangan menyerlah peluru dan senjata untuk dibekalkan ke Ukraine.
Bagaimanakah anda benar-benar boleh memenangi peperangan dengan kekurangan ketara peluru dan senjata? Jadi adalah lebih baik bagi Ukraine, AS dan sekutu baratnya untuk mengadakan rundingan perdamaian dengan Russia sebelum lebih banyak lagi kemusnahan menimpa Ukraine.
Salam,
Jamari Mohtar
Editor, Jom Sembang!
* Baca rencana kami yang diterbitkan oleh beberapa portal berita mengenai Inisiatif Bijian Laut Hitam:
https://www.themalaysianinsight.com/s/452383
https://www.thesundaily.my/local/black-sea-grain-initiative-hits-a-snag-BH11259448https://www.businesstoday.com.my/2023/07/14/the-global-whammy-of-rising-food-inflation/https://www.malaysiakini.com/letters/672259
Catatan terkini
- Bil 3 No 37: China dan Russia adalah pendamai dunia Islam [PDF]
- Vol 3 No 38: Dialogue on managing differences: Key to a lasting peace in Syria [PDF]
- Bil 3 No 38: Dialog merapatkan perbezaan: Kunci keamanan berkekalan di Syria [PDF]
- Vol 3 No 39: The Black Sea Grain Initiative: Another whammy to the global economy [PDF]
- Bil 3 No 39: Inisiatif Bijian Laut Hitam: Satu lagi kejutan kepada ekonomi global? [PDF]
- Vol 3 No 40: Russia’s integrated strategies and tactics paid off in the proxy war with Nato and the West [PDF]