• Dengan tinggal beberapa hari sahaja lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tergesa-gesa untuk melanjutkan perjanjian yang membenarkan bijirin Ukraine dihantar melalui Laut Hitam ke wilayah yang bergelut dengan kelaparan.
  • Inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan krisis makanan global, yang telah diburukkan oleh perang Ukraine.
  • Inisiatif tersebut yang PBB dan Türkiye menjadi perantara dengan pihak yang berperang pada Julai lalu, dikenali sebagai Inisiatif Bijian Laut Hitam (BSGI), disertai dengan perjanjian berasingan untuk memudahkan penghantaran makanan dan baja Russia yang ditegaskan oleh Moscow tidak diberikan sama perhatian sepertimana penghantaran bijiran Ukraine.
  • Para pegawai PBB dan penganalisis secara konsisten telah memberi amaran bahawa kegagalan untuk melanjutkan BSGI boleh menjejaskan negara di Afrika, Timur Tengah dan sebahagian Asia yang bergantung kepada gandum Ukraine, barli, minyak sayuran dan produk makanan mampu milik lain, terutamanya apabila kemarau telah menjadi perkara biasa baru-baru ini.
  • Inisiatif itu membantu menurunkan harga komoditi makanan seperti gandum sepanjang tahun lalu, tetapi penurunan harga ini belum lagi dicerminkan dalam perbelanjaan makanan orang ramai, menurut ramai penganalisis.
  • Kegagalan untuk melanjutkan inisiatif bijirin melangkaui 17 Julai adalah satu lagi perkara yang dunia tidak perlukan, kerana harga boleh mula meningkat lebih tinggi.
  • Ramai penganalisis berpendapat inisiatif bijirin itu harus dilanjutkan untuk tempoh masa yang lebih lama dan diperluaskan demi memberikan kebolehramalan dan keyakinan kepada pasaran.
  • Namun pada 4 Julai, Kementerian Luar Russia mengeluarkan kenyataan di mana ia berkata ia melihat “tiada alasan” untuk melanjutkan inisiatif bijirin Ukraine melepasi tarikh akhir 17 Julai.
  • Perjanjian itu gagal memenuhi matlamat asalnya untuk mengemudi bijirin ke arah negara miskin, kementerian itu mendawa.
  • Sebaliknya, ia telah menjadi skim “komersial semata-mata” yang mana bijirin dihantar ke negara kaya, manakala eksport makanan dan baja Russia kekal disekat.
  • Kementerian itu juga mendakwa dengan inisiatif bijirin yang akan tamat tempoh, negara Barat, Ukraine dan juga PBB sendiri telah meningkatkan “aktiviti propaganda” mereka mengenai perkara itu.
  • Hujah-hujah itu berasaskan kepada dakwaan bahawa tanpa jagung Ukraine, dunia akan mati kebuluran, manakala sekatan unilateral haram yang dikenakan oleh Barat terhadap Russia tidak terpakai kepada makanan dan baja,” katanya.
  • Hakikatnya, inisiatif bijirin telah menjadi mekanisme “komersial semata-mata” untuk mengeksport hasil Ukraine ke negara-negara yang “cukup makanan” dan bukannya negara yang mengalami masalah sekuriti makanan, tambah kementerian itu lagi.
  • Kira-kira 81% hasil yang dihantar dari Ukraine di bawah inisiatif itu pada tahun lalu berakhir di negara-negara dengan “tahap pendapatan tinggi dan pertengahan atas,” katanya, sambil menambah bahawa negara termiskin di dunia, termasuk Ethiopia, Yaman, Afghanistan, Sudan dan Somalia, hanya membentuk 2.6%.
  • Sementara itu, situasi mengenai eksport makanan dan baja Russia yang disekat “terus diabaikan,” kata kementerian itu. Lima matlamat “sistemyang dibayangkan oleh memorandum Russia-PBB masih belum tercapai.
  • Ia termasuk membenarkan bank pertanian utama Russia, Rosslekhozbank, kembali ke sistem pembayaran SWIFT, membolehkan penghantaran peralatan ganti untuk jentera pertanian, penyambungan semula operasi saluran paip ammonia Tolyatti-Odessa, urusan insurans dan logistik, serta “menyahbekukan” aset Russia.
  • Tiga matlamat pertama secara efektif “tidak lagi dalam agenda,” sementara tiada kemajuan ketara ditunjukkan pada dua yang lain, kata kementerian itu.
  • Dengan latar belakang sedemikian, Moscow melihat tiada alasanuntuk melanjutkan inisiatif bijirin, kenyataan itu merumuskan.
  • Ditandatangani buat pertama kalinya pada 22 Julai 2022 dan berkuatkuasa selama tiga bulan, inisiatif itu telah dilanjutkan berkali-kali sepanjang tahun lalu, walaupun kebimbangan yang semakin meningkat berulang kali disuarakan Moscow mengenai kegagalannya untuk memberikan apa-apa faedah untuk Russia.
  • Menteri Luar Russia Sergey Lavrov sambil mengulangi bahawa Moscow tidak melihat alasan untuk bersetuju dengan lanjutan inisiatif bijirin, menegaskan janji-janji yang dibuat kepada Russia tetap tidak ditunaikan.
  • Beliau menuduh AS dan EU mengamalkan sikap “keterlaluan” dengan mendakwa sekatan mereka secara eksplisit tidak menyasarkan penghantaran pertanian Russia.
  • Diplomat itu berhujah sekatan ke atas Rosselkhozbank, industri perkapalan Russia, dan “sebilangan besar tindakan lain yang didakwa teknikal tetapi sebenarnya adalah tindakan “larangan” telah mewujudkan halangan besar kepada eksport Russia.
  • “Saya tidak nampak sebarang hujah untuk mereka yang ingin meneruskan inisiatif Laut Hitam ini,” kata Lavrov.
  • Perang Ukraine yang bermula pada Februari 2022 menyebabkan penghentian sepenuhnya penghantaran bijirin maritim dari Ukraine, yang sebelum ini adalah pengeksport utama melalui Laut Hitam.
  • Di samping itu, Russia sendiri menghentikan eksport bijirinnya buat sementara waktu, memburukkan lagi keadaan. Ini mengakibatkan kenaikan harga makanan dunia dan ancaman kebuluran di negara berpendapatan rendah.
  • Untuk menangani isu itu, perbincangan bermula pada April tahun lalu, di mana Türkiye yang mengawal laluan maritim dari Laut Hitam, menjadi tuan rumah yang  disokong PBB.
  • Perjanjian yang terhasil telah ditandatangani di Istanbul pada 22 Julai 2022, sah untuk tempoh 120 hari. Perjanjian Julai itu mewujudkan prosedur untuk mengeksport bijirin dengan selamat dari pelabuhan tertentu dalam usaha untuk menangani krisis makanan 2022.
  • Pusat penyelarasan dan pemeriksaan bersama telah ditubuhkan di Türkiye, dengan PBB berkhidmat sebagai urusetianya.
  • Perjanjian asal ditetapkan untuk tamat pada 19 November. Russia menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu selama beberapa hari kerana serangan dron ke atas kapal tentera laut Russia di Laut Hitam, tetapi menyertai semula selepas rundingan pengantaraan.
  • Pada 17 November, PBB dan Ukraine mengumumkan perjanjian itu telah dilanjutkan selama 120 hari lagi.
  • Pada Mac 2023, Türkiye dan PBB mengumumkan mereka memperoleh lanjutan kedua untuk sekurang-kurangnya 60 hari lagi. Pada Mei 2023, inisiatif itu sekali lagi dilanjutkan selama 60 hari, tamat tempoh pada 17 Julai.
  • Menjelang pertengahan Mei 2023, lebih 950 pelayaran telah berjaya meninggalkan pelabuhan Ukraine yang membawa lebih 30 juta tan bijirin dan produk makanan lain ke lebih 40 buah negara.
  • Pada lewat Jun 2023, Russia telah berulang kali mendakwa ia akan menarik diri daripada BSGI pada Julai 2023 melainkan tuntutannya dipenuhi. Dan kali ini, nampaknya benar-benar NYATA bahawa Russia berhasrat untuk melakukan perkara itu.
  • Inisiatif Bijian Laut Hitam (BSGI) yang diuruskan oleh PBB dan Türkiye antara dua negara yang berperang buat pertama kali ditandatangani pada 22 Julai tahun lalu mempunyai dua perjanjian.
  • Yang pertama adalah membenarkan eksport bijirin Ukraine yang disekat oleh perang Ukraine, manakala yang kedua adalah membenarkan eksport makanan dan baja Russia walaupun sekatan Barat dikenakan ke atas Moscow berikutan perang Ukraine.
  • BSGI pertama selama 120 hari tamat pada 19 Nov dan akan dilanjutkan melainkan terdapat bantahan.
  • Malah, apabila tamat tempohnya, PBB sedang berusaha untuk memperbaharuinya selama setahun. Moscow, bagaimanapun, belum menyatakan sama ada ia bersetuju dengan perkara itu.
  • Tetapi tiga minggu sebelum tamat tempohnya, Moscow telah menarik diri daripada perjanjian itu, dengan berkata ia tidak dapat menjamin keselamatan kapal awam yang menyeberangi Laut Hitam kerana serangan dron ke atas armadanya di sana.
  • Empat hari kemudian pada 2 Nov, berikutan panggilan telefon antara Presiden Russia Vladmir Putin dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta rundingan antara menteri pertahanan mereka, Russia bersetuju untuk menyertai semula inisiatif itu.
  • Dalam satu kenyataan, kementerian pertahanan Russia berkata, dengan bantuan PBB dan Türkiye, ia telah memperoleh jaminan bertulis yang mencukupi daripada Ukraine bahawa ia tidak akan menggunakan koridor perkapalan selamat atau pelabuhan Ukraine yang ditetapkan untuk serangan terhadap Russia.
  • Putin mengesahkan penerimaan komitmen tersebut, dan berkata jika Russia menarik diri sekali lagi kerana pelanggaran Ukraine, ia akan menggantikan keseluruhan jumlah bijirin yang diperuntukkan untuk “negara termiskin” secara percuma daripada stoknya sendiri.
  • Tetapi dalam menerima pengaruh Türkiye, serta apa yang disebutnya “sebagai sikap berkecualinya” dalam perang Ukraine, beliau menambah: “Walau apa pun, kami tidak akan menghalang penghantaran bijirin dari wilayah Ukraine ke Türkiye.”
  • Russia juga telah mengadu bahawa perjanjian kedua dalam inisiatif itu yang mengecualikan bajanya daripada sekatan tidak dihormati.
  • PBB kemudian menyeru semua pihak yang terlibat untuk segera menghapuskan apa-apa halangan untuk eksport dan pengangkutan baja ke negara yang paling memerlukan.
  • PBB juga berjaya membuka sekatan penghantaran 20,000 tan baja Russia di Belanda, yang tersekat di pelabuhan Belanda Rotterdam akibat sekatan yang dikenakan oleh EU ke atas individu dan barangan tertentu.
  • Maka BSGI telah diperbaharui buat kali pertama selama 120 hari lagi sehingga 18 Mac.
  • Pada 18 Mac, PBB dan Erdogan mengumumkan lanjutan BSGI untuk kali kedua, tetapi tidak mengesahkan berapa lama ia akan bertahan.
  • PBB, Türkiye dan Ukraine mahukan ia dilanjutkan selama 120 hari lagi, manakala Rusia berkata ia bersetuju untuk 60 hari saja .
  • Timbalan Perdana Menteri Ukraine Oleksandr Kubrakov dalam ciapannya di Twitter mengatakan inisiatif itu akan terus berkuatkuasa untuk tempoh yang lebih lama, empat bulan.
  • Tetapi jurucakap Kementerian Luar Russia Maria Zakharova memberitahu agensi berita Russia Tass bahawa Moscow “bersetuju untuk melanjutkan Inisiatif selama 60 hari.”
  • “Sebarang dakwaan bahawa ia berpanjangan selama lebih 60 hari adalah sama ada angan-angan belaka atau manipulasi yang disengajakan,” kata timbalan duta Russia ke PBB, Dmitry Polyansky, ketika itu.
  • Dalam lanjutan kedua ini, Russia dan bukan Ukraine berada di pihak yang benar bahawa inisiatif itu akan diperbaharui selama 60 hari sehingga 18 Mei.
  • Russia sekali lagi mengadu perjanjian berasingan dengan PBB untuk mengatasi halangan penghantaran bajanya itu yang merupakan sebahagian pakej Julai belum berhasil.
  • Duta Besar Russia ke PBB Vassily Nebenzia memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa PBB perlu akur ia “tidak mempunyai pengaruh untuk mengecualikan operasi eksport pertanian Russia daripada sekatan Barat,” dan oleh itu Russia hanya akan melanjutkan inisiatif itu sehingga 18 Mei.
  • “Jika Brussels, Washington dan London benar-benar berminat untuk meneruskan eksport makanan dari Ukraine melalui koridor kemanusiaan maritim, maka mereka mempunyai dua bulan untuk mengecualikan sekatan mereka daripada keseluruhan rantaian operasi yang mengiringi sektor pertanian Russia,” kata Nebenzia.
  • “Jika tidak, kami gagal memahami bagaimana konsep pakej setiausaha agung PBB akan berfungsi melalui perjanjian semudah ini.”
  • Stéphane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dalam satu kenyataan berkata 25 juta tan metrik (kira-kira 28 juta tan) bijirin dan bahan makanan telah berpindah ke 45 negara di bawah inisiatif itu, membantu menurunkan harga makanan global dan menstabilkan pasaran.
  • “Kami tetap komited dengan kedua-dua perjanjian, dan kami menggesa semua pihak untuk menggandakan usaha mereka untuk melaksanakannya sepenuhnya,” kata Dujarric.
  • Perang Ukraine telah menyebabkan harga makanan melonjak ke paras tertinggi pada 2022 dan menyumbang kepada krisis makanan global yang turut dikaitkan dengan kesan berlarutan pandemik COVID-19 dan faktor iklim seperti kemarau.
  • Gangguan dalam penghantaran bijirin yang diperlukan untuk makanan ruji di tempat seperti Mesir, Lubnan dan Nigeria memburukkan lagi cabaran ekonomi dan membantu mendorong berjuta-juta lagi orang ke dalam kemiskinan atau ketidakamanan makanan.
  • Rakyat di negara membangun membelanjakan lebih banyak wang untuk keperluan asas seperti makanan. Krisis itu menyebabkan kira-kira 345 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan, menurut Program Makanan Sedunia PBB.
  • Dalam semua lanjutan inisiatif itu, Erdogan memainkan peranan penting melalui diplomasi telefon dengan Putin untuk meyakinkan pemimpin Russia itu untuk meneruskan penyertaan Russia dalam inisiatif itu, yang merupakan bukti penguasaan kemahiran diplomasinya, apatah lagi hubungannya yang semakin rapat dengan Putin.
  • Apabila lanjutan pertama dibuat, Erdogan dilaporkan berkata: “Dia [Putin] tidak bersetuju untuk membuka koridor bijirin ini melalui orang lain. Tetapi dengan saya, apabila saya menghubungi … terus dia membuka koridor bijirin,” kata Erdogan.
  • Kemahiran Erdogan dalam diplomasi sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila pada Mac, Moscow bersetuju melanjutkan inisiatif Laut Hitam hanya selama 60 hari lagi sehingga 18 Mei dan bukannya 120 hari melainkan senarai tuntutan mengenai eksport pertaniannya sendiri dipenuhi.
  • Menjelang 18 Mei, dunia tidak sabar untuk melihat sama ada Russia akan melanjutkan inisiatif itu selepas 18 Mei.
  • Sekali lagi, Erdogan melangkah masuk dengan diplomasi telefon dengan Putin, dan mengumumkan pada 17 Mei BSGI telah dilanjutkan selama dua bulan lagi, sehingga 17 Julai.
  • Kita kini berada dalam keadaan sama seperti pada Mei apabila beberapa hari sebelum inisiatif itu tamat pada 17 Julai, Russia telah berkata ia melihat “tiada alasan” untuk melanjutkan inisiatif bijirin Ukraine melepasi tarikh akhir 17 Julai.
  • Bolehkah Erdogan mengulangi kejayaannya sekali lagi dengan menguji kemahiran diplomasinya?
  • Pada pendapat editor anda, kali ini adalah sukar bagi Ergodan berbuat demikian selepas berjaya tiga kali meyakinkan Putin untuk bersetuju dengan lanjutan kepada inisiatif itu.
  • Pertama sekali, kemahiran diplomasinya nampaknya telah “dikompromi” dari perspektif Russia apabila Erdogan pada 8 Julai memutuskan membebaskan lima komander batalion Azov yang dipenjarakan kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam lawatannya ke Türkiye baru-baru ini.
  • Russia kemudian menuduh Ankara mencabuli perjanjian untuk mengekalkan mereka sehingga tamat perang.
  • Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Türkiye sepatutnya menahan mereka di negara itu, selaras dengan perjanjian yang dipersetujui sebelum ini di kalangan Russia, Ukraine dan Türkiye.
  • Komen Peskov itu dibuat selepas Erdogan mengumumkan Türkiye akan menjadi tuan rumah kepada Presiden Russia Vladimir Putin untuk membincangkan BSGI.
  • “Tiada siapa yang memaklumkan kami tentang perkara ini,” kata Peskov. “Menurut perjanjian, semua ketua kumpulan ini akan kekal di wilayah Türkiye sehingga tamat konflik.”
  • Tentera Russia menawan ratusan pejuang Ukraine semasa pertempuran berdarah selama tiga bulan di Mariupol sebelum tentera menyerah diri pada Mei 2022.
  • Ramai tentera ini yang bersembunyi di bunker dan terowong di bawah loji keluli Azovstal adalah anggota batalion Azov.
  • Pertukaran tahanan perang yang dianjurkan dengan bantuan Türkiye dan Arab Saudi pada September telah membolehkan ratusan askar Ukraine dan Russia pulang ke rumah.
  • Zelenskyy mengumumkan sebahagian perjanjian itu termasuk bahawa lima komander batalion Azov yang mengetuai serangan di Mariupol itu akan kekal di Türkiyese hingga perang berakhir.
  • Zelenskyy tidak pula berkongsi keadaan apa yang berubah yang membolehkannya membawa pulang kesemua komander tersebut.
  • Bagi askar Azov lain yang menjadi tawanan perang, 22 sedang dibicarakan di Russia selepas negara itu menetapkan battalion tersebut sebagai kumpulan pengganas.
  • Sementara itu Senator Russia Viktor Bondarev yang juga ahli Majlis Persekutuan, dewan atasan parlimen Russia yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa pertahanan dan keselamatan badan itu berkata kenyataan dan tindakan terbaru Türkiye menunjukkan ia sedang beralih menuju ke arah kumpulan negara yang Moscow menganggap tidak mesra dengannya.
  • Bercakap kepada agensi berita TASS pada 10 Julai, Bondarev mencadangkan Erdogan menyerah kalah kepada tekanan Barat.
  • Beliau memetik kenyataan Ankara menyokong usaha Ukraine untuk menyertai Nato dan keputusan seterusnya membebaskan lima komander rejimen Azov daripada tahanan sebagai langkah yang telah menjejaskan sikap berkecuali Türkiye.
  • “Pastinya keselamatan dan kepentingan negara diutamakan. Tetapi walaupun di bawah tekanan Barat yang serius, seseorang harus mengekalkan kedudukan mereka, seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin Hungary Viktor Orban berulang kali,” kata senator itu.
  • Beliau juga mempunyai kata-kata kasar untuk Erdogan apabila menuduhnya menikam Russia dari belakang, dan menyifatkan penyerahan komander Azov sebagai satu dalam siri “keputusan bodoh dan impulsif” oleh Erdogan.
  • Dalam membebaskan komander Azov kepada Zelensky, presiden Türkiye itu mungkin telah bertindak balas sebahagiannya terhadap berita buruk mengenai inisiatif bijirin Laut Hitam itu tidak akan diperbaharui oleh Russia, kata senator itu.
  • Harga makanan global telah jatuh sejak pertengahan 2022 disebabkan beberapa faktor, termasuk penyambungan semula eksport dari pelabuhan Ukraine di bawah Inisiatif Bijian Laut Hitam (BSGI).
  • Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian merosot sebanyak 19.7% tahun ke tahun pada April 2023 kepada 127.2%.
  • Penganalisis data Trading Economics melaporkan bahawa di Kesatuan Eropah (EU), walaupun inflasi makanan telah menurun, namun ia masih dalam angka dua digit – 15.04% pada Mei berbanding 16.41% pada bulan sebelumnya.
  • Dalam ekonomi yang lebih besar di EU, Perancis dan Jerman misalnya, inflasi makanan masing-masing pada 13.6% dan 13.4% pada bulan Jun berbanding 14.3% dan 14.5% pada Mei.
  • Di negara-negara Eropah Timur, untuk bulan Mei, Poland mencatatkan inflasi makanan sebanyak 18.9% berbanding 19.7% pada bulan sebelumnya, Republik Czech (14.5% berbanding 17.3% sebelumnya), Bulgaria (14.38% berbanding 15.85% sebelumnya. ) dan Romania (18.73% berbanding 19.84% sebelumnya).
  • Di negara-negara Baltic, Estonia mencatatkan inflasi makanan sebanyak 19.5% pada Jun berbanding 20.4% bulan sebelumnya, manakala Latvia (14.4% berbanding 17.9% sebelumnya) dan Lithuania (14.4% berbanding 18.2% sebelumnya) .
  • Di UK, inflasi pada masa ini berada pada 8.7% pada Mei, tidak berubah dari April tetapi harga makanan telah meningkat lebih daripada itu. Inflasi makanan mencecah paras tertinggi 18.3% pada Mei (19% pada April) – tambahan lebih £800 kepada bil makanan keluarga tahunan.
  • Dan musuh mereka – Russia – mempunyai kadar inflasi makanan sebanyak 0.2% (sangat rendah) pada Jun berbanding -1% pada Mei.
  • Sebagai perbandingan, mari kita lihat kadar inflasi makanan bagi sesetengah negara Asean. Brunei dan Kemboja mempunyai kadar inflasi makanan masing-masing 2.8% dan 2.26% pada April, manakala Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai kadar 5.9% dan 6.8% pada Mei, dan Indonesia, 2.85% pada Jun.
  • Hanya dua negara Asean yang mempunyai inflasi makanan dua digit – Laos (42.73%) dan Myanmar (18.43%).
  • Bagi negara-negara yang mengalami inflasi makanan dua digit, tidak jelas bila harga makanan akan mula turun kerana terdapat pelbagai faktor yang perlu stabil sebelum harga boleh turun.
  • Kebanyakan penganalisis berpendapat perang Ukraine perlu ditamatkan dan seterusnya dikuti kemudian tempoh penstabilan semua kos lain yang dihadapi perniagaan makanan perlu berlaku sebelum sebarang pengurangan bermakna dalam inflasi makanan mula menjadi kenyataan.
  • Mereka juga berpendapat terdapat banyak sebab yang kompleks kenapa harga makanan telah meningkat sejak tahun lepas.
  • Kos buruh, tenaga dan pengangkutan yang meningkat merupakan penyumbang utama kepada kenaikan itu, serta perang Ukraine dan kesukaran pengeluaran yang disebabkan oleh keadaan cuaca teruk.
  • Perang Ukraine telah memberi kesan kepada komoditi seperti gandum, bijirin dan minyak sayuran, manakala isu rantaian bekalan yang lebih luas sejak pandemik turut menyumbang.
  • Dan kemudian terdapat kos tenaga untuk mengeluarkan produk makanan. Kenaikan gaji akibat inflasi juga tidak membantu mengurangkan kos makanan.
  • Perniagaan kecil yang mengeluarkan dan menjual makanan yang merasai tekanan – ramai hanya boleh bertahan dengan meletakkan harga tinggi.
  • Dalam meneliti semua data dalam Trading Economics, editor anda melihat beberapa kesimpulan yang menarik.
  • Pertama sekali, nampaknya terdapat trend penurunan umum dalam inflasi makanan di hampir semua negara bermula dari pertengahan tahun lepas apabila BSGI diperkenalkan pada Julai 2022, menyusuli kemuncak kenaikan harga makanan selama berbulan-bulan selepas perang Ukraine bermula pada Feb tahun lepas.
  • Sekarang bayangkan jika Russia menarik diri daripada BSGI apabila ia tamat pada 17 Julai; trend menurun dalam inflasi makanan yang sedang dinikmati dunia sekarang pasti akan berbalik, mencetuskan krisis makanan global sekali lagi!
  • Juga trend penurunan harga makanan ini sangat kecil di negara-negara EU sehingga walaupun selepas kejatuhan harga makanan di sana, inflasi makanan kekal pada kadar dua digit di negara-negara EU, tidak seperti angka satu digit yang dialami oleh hampir semua negara Asean kecuali Laos dan Myanmar.
  • Mengapakah kadar inflasi makanan negara-negara EU mirip dengan kadar inflasi makanan negara-negara miskin seperti Ethiopia, Sierra Leone, Senegal dan Haiti, dari segi ianya berlaku dalam kadar dua digit?
  • Mungkinkah ia kerana sekatan mengejut dan mengagumkan yang dikenakan EU ke atas Russia telah menjadi semacam bumerang ke atas semua negara EU sehingga inflasi makanan mereka berada dalam dua digit manakala inflasi makanan Russia sangat rendah pada paras 0.2%?
  • Dan hampir semua negara Asia termasuk Asean, yang majoritinya tidak menyokong sekatan EU ke atas Russia, mempunyai kadar inflasi makanan satu digit.
  • Bukankah ini alasan yang cukup kukuh untuk negara-negara EU tidak meletakkan halangan dalam eksport makanan dan baja Russia dengan memenuhi permintaan Russia untuk menarik balik sekatan ke atas eksport pertaniannya supaya ia akan terus mengambil bahagian dalam BSGI, lantas mengelakkan berlakunya krisis makanan sedunia?
  • Selain itu, dengan mengambil kira perang Ukraine perlu ditamatkan untuk tempoh penstabilan ke atas semua kos lain yang dihadapi perniagaan makanan berlaku sebelum kita dapat melihat sebarang pengurangan bermakna dalam inflasi makanan, bukankah sudah tiba masanya untuk EU, yang majoriti ahlinya juga berada dalam NATO untuk memberi tekanan kepada AS untuk menamatkan perang dengan memujuk Ukraine untuk mengadakan rundingan dengan Russia?
  • Mentelah lagi, dunia sudah cukup menderita akibat perang ini, dan ia perlu dihentikan.

Menjelang awal 2023, perang Syria selama 12 tahun menyaksikan wilayah Idlib berhampiran sempadan dengan Türkiye sebagai kubu terakhir pembangkang Islam anti-Assad di barat laut Syria.

Dengan AS terlalu terpaku dengan perang Ukraine dan membendung kemaraan China, tumpuannya terhadap Timur Tengah kelihatan pudar.

Dengan kehadiran tentera yang agak besar dan keupayaan operasi di Timur Tengah, Washington kini semakin kurang bersedia untuk terlibat dalam isu serantau.

Mungkin ini disebabkan oleh kegagalan sekatan “mengejut dan mengkagumkan” ke atas Russia yang telah menjadi semacam bumerang terhadap ekonomi AS sendiri, yang para pakar meramalkan akan mengalami kemelesetan tidak lama lagi.

Satu lagi sebab mengapa AS kelihatan mengelakkan diri daripada terlibat di Timur Tengah juga mungkin kerana fenomena “demilitarisasi” angkatan tenteranya di mana dengan pengecualian senjata nuklear, AS mempunyai lebih daripada mencukupi senjata dan peluru untuk hanya mempertahankan dirinya sendiri kerana semua lebihan senjata dan pelurunya telah pergi ke Ukraine untuk dimusnahkan oleh Rusia.

Memburukkan lagi keadaan, kompleks industri-tenteranya (MIC) sedang menjalani semacam “penyahindustrian”, di mana ia tidak lagi dapat menghasilkan senjata dan peluru secepat yang dikehendaki oleh Pentagon, memaksanya merayu kepada Korea Selatan dan Jepun untuk bantuan dalam penghantaran segera peluru peluru ke Ukraine.

Ironinya, ini disebabkan oleh globalisasi, yang didorong oleh AS tetapi telah menyebabkan rantaian bekalan MICnya dipindahkan ke negara lain, kebanyakan China dan India.

Idea untuk mengalihkan rantaian bekalannya kembali ke AS kini mendapat tarikan dan momentum tetapi ini akan mengambil masa yang agak panjang.

Dengan kehancuran ISIS, penyertaan AS dan sekutu baratnya dalam perang Syria tidak lagi berkesan, dan terjadi perdamaian antara puak pembangkang dengan kerajaan Assad, syarat penting bagi keamanan berkekalan di Syria ialah pertemuan antara Presiden Erdogan dan Presiden Bashar al-Assad perlu diadakan.

Namun, terdapat cabaran besar untuk pertemuan ini berlangsung. Walaupun Erdogan menantikan pertemuan itu, Assad pula telah meletakkan pra-syarat.

Menurut Assad, pertemuan tersebut hanya boleh menjadi kenyataan “apabila Türkiye dengan jelas bersedia, tanpa sebarang ketidakpastian atau kaveat, untuk pengunduran sepenuhnya [tentera Türkiye] dari Syria, menamatkan sokongan kepada pengganas dan kembali kepada status quo yang telah wujud sebelum bermulanya permusuhan di Syria.”

Tetapi Ankara mempunyai keutamaan dan logiknya sendiri, dan ini berkaitan, antara lain, dengan penyelesaian isu Kurdi dan mentakrifkan status kumpulan bersenjata Kurdi yang dilihat Türkiye sebagai pengganas; kepulangan pelarian Syria ke rumah mereka; dan proses politik, pembaharuan dan perdamaian dengan pembangkang.

Mengatasi titik perselisihan ini adalah satu proses yang rumit. Ankara tidak akan mengundur tenteranya dari Syria tanpa jaminan mengenai isu keutamaannya, terutamanya mengenai penyelesaian masalah kaum Kurdi.

Mengenai isu kepulangan pelarian Syria dari Türkiye (kira-kira 3.5 juta orang), walaupun ini telah dipersetujui oleh kedua-dua Moscow dan Damsyik, mereka tidak bersedia untuk kepulangan besar-besaran rakyat Syria ke rumah mereka atas beberapa sebab yang serius.

Pertama sekali, keadaan sosio-ekonomi yang sukar di Syria memberi implikasi dalam jangka pendek, kerajaan Syria tidak mempunyai infrastruktur yang sesuai dan sumber ekonomi yang mencukupi untuk menampung sejumlah besar pelarian yang pulang.

Lebih-lebih lagi, kos untuk menyokong dan mengintegrasikan semula berjuta-juta pelarian akan memberi beban berat kepada ekonomi Syria yang lemah dan boleh membawa kepada keruntuhannya.

Selain itu, sentimen antikerajaan di kalangan pelarian tersebut masih berterusan, lantas kediaman padat yang terdiri daripada para pelarian yang terpinggir akan menimbulkan risiko ketidakstabilan dan protes yang meningkat, menyemarakkan kemunculan pasaran gelap dan mengancam kestabilan sosial.

Lebih memburukkan lagi keadaan, menjelang pilihan raya Mei di Türkiye, Syria sedar bahawa kemajuan dalam normalisasi hubungan Syria-Türkiye boleh membantu memperbaiki kedudukan Erdogan.

Mungkin itulah sebabnya Assad tidak tergesa-gesa untuk bertemu dengan Erdogan.

Di sinilah Assad tidak mempunyai gambaran yang lebih luas. Syria dan Türkiye adalah negara jiran, jadi mereka mesti belajar untuk sama-sama wujud dengan penuh tolak ansur.

Mengambil kira bahawa AS sahaja satu-satunya negara yang tidak mengalu-alukan pemulihan hubungan rapat antara Syria dan Türkiye, dan rancangan jahatnya dengan sekutu Eropahnya untuk memastikan perubahan rejim melalui proses pilihan raya di Türkiye, Assad sepatutnya membina modal politik dengan Türkiye dengan membantu Erdogan untuk memenangi pilihan raya melalui kesediaannya mengadakan sidang kemuncak dengan pemimpin Türkiye sebelum pilihan raya.

Tetapi sudah tentu, keadaan kini bagaikan nasi sudah menjadi bubur kerana walaupun Assad bersikap dingin pada pertemuan dengan Erdogan sebelum pilihan raya, dan walaupun AS merancang untuk menukar rejim di Türkiye, Erdogan telah berjaya memenangi pilihan raya presiden.

Jadi adakah ini bermakna seperti yang diramalkan oleh penganalisis barat kini giliran Erdogan pula untuk bersikap dingin terhadap Assad, lantas meneruskan pencerobohan Türkiye di Syria, seperti yang dirancangnya sebelum ini?

Jawapannya tidak kerana bukan sahaja Erdogan tetapi seluruh Türkiye termasuk pembangkangnya mahukan hubungan rapat dengan Syria.

Dan sekiranya Erdogan bertegas mahu meneruskan rancangan awalnya untuk menceroboh Syria, Russia tidak akan membenarkannya.

Ini kerana Russia yang mengawal ruang udara di utara Syria dan bukannya AS.

Jika Türkiye melintasi garis merah Moscow di utara Syria dengan pencerobohannya, Moscow (atau rejim Assad dengan sokongan Moscow) boleh melancarkan kempen udara yang menyasarkan wilayah itu, mengakibatkan berjuta-juta pelarian Syria lari ke sempadan Türkiye, yang merupakan senario mimpi ngeri bagi Türkiye.

Jadi ke mana hala tuju perang Syria ketika ini?

Sementara menunggu Assad “turun ke bumi” untuk bersetuju pada sidang kemuncak dengan Erdogan, langkah yang perlu dirintis dengan serta merta ialah untuk memulihkan hubungan ekonomi dan perdagangan ‘tanpa halangan’ antara Türkiye dan Syria, seperti yang dianjurkan oleh Menteri Luar Russia Sergey Lavrov.

Ini akan membantu Syria memulihkan ekonominya yang telah musnah akibat perang, dan memberikannya kemampuan untuk mengalu-alukan kembali pelarian Syria bukan sahaja dari Türkiye tetapi juga di negara-negara berdekatan untuk kembali ke Syria.

Negara-negara jauh seperti Eropah juga akan mendapat keuntungan dalam bentuk pelarian Syria yang berkurangan datang ke negara mereka.

Türkiye juga akan meraih manfaat kerana rakyat Türkiye juga sedang menderita akibat ekonomi yang teruk terjejas dengan kadar inflasi yang tinggi.

Jika hubungan ekonomi dan perdagangan yang ‘tidak terhalang’ antara Türkiye dan Syria ini dihalang oleh sekatan AS, maka abaikan sahaja.

Türkiye telah membuktikan ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan apabila ia pada masa ini mengabaikan sekatan besar-besaran AS dan EU ke atas Russia dalam perang Ukraine.

Hakikatnya adalah kewajipan semua negara hanya untuk mematuhi sekatan yang dimandatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bukannya sekatan yang dipelopori oleh AS atau EU.

Negara-negara saudara Teluk yang kaya juga harus menghulurkan tangan untuk membantu mempergiatkan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan Türkiye dan Syria.

Malah, Russia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan juga boleh membantu dengan membawa Syria dan Türkiye ke dalam lingkungan negara BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai selaras dengan idea mereka tentang dunia berbilang polar.

Ini kemudiannya harus diikuti dengan dimensi politik krisis Syria dengan menggunakan platform pemulihan hubungan mesyuarat para menteri Türkiye, Syria, Iran dan Russia untuk mengetengahkan apa sahaja perbezaan antara Türkiye dan Syria, dan merapatkan jurang perbezaan itu secara bijaksana

Dalam hal ini, Pasukan Demokratik Syria (SDF) dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) masing-masing harus berpuas hati dengan autonomi yang diberikan oleh Syria di utara negara itu, dan oleh Türkiye di kawasan negara di mana mereka membentuk majoriti.

Mereka juga harus menghentikan urusan talam dua muka dengan kadangkala berpihak kepada Syria untuk melawan Türkiye, atau berpihak kepada AS untuk memerangi kedua-dua Syria dan Türkiye.

Sebaliknya mereka harus sentiasa memainkan peranan sebagai pendamai antara Syria dan Türkiye. Begitu juga dengan puak Islam pembangkang Syria yang disokong oleh Türkiye.

Hakikatnya sama ada Türkiye, Syria, PKK, SDF atau HTS, mereka semua diikat bersama dengan menjadi penganut Islam, dan mereka semua sepatutnya menjadi pendamai dunia, kerana Islam bermaksud keamanan.

Di mana lagi untuk mula memainkan peranan ini jika tidak memulakannya dari “rumah” dan kejiranan mereka sendiri dengan menjadi pendamai di kalangan saudara mereka yang sedang berperang, dan sesama mereka sendiri.

Salam,

Jamari Mohtar

Editor, Jom Sembang!