



- Ketika tirai hampir ditutup pada 2022, menteri pertahanan dan ketua perisikan Türkiye dan Syria bertemu di Moscow di bawah naungan Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu – pertemuan pertama kedua-dua pihak dalam lebih sedekad.
- Pertemuan 28 Disember itu serta-merta mencetuskan spekulasi mengenai normalisasi semula hubungan baik Türkiye-Syria akan berlaku – dengan mesyuarat dijadualkan antara menteri luar kedua-dua negara dan kemudiannya, pertemuan ketua negara pada awal 2023.
- Russia menyatakan terdapat rancangan konkrit untuk pertemuan antara menteri luar Syria dengan Turki, yang diharapkan akan membuka jalan kepada pertemuan antara presiden Türkiye, Tayyip Recep Erdogan dengan presiden Syria, Bashar al-Assad, sama ada di Russia atau UAE.
- Pertemuan menteri luar Syria dan Türkiye akhirnya berlangsung pada 10 Mei di Moscow, di bawah pengantaraan Russia dan Iran.
- Dalam pertemuan tersebut, Russia, Iran, Türkiye dan Syria bersetuju untuk menjana peta jalan (roadmap) bagi merangkakan hala tuju untuk memulihkan hubungan antara Ankara dan Damsyik.
- Negara-negara tersebut “bersetuju untuk mengarahkan timbalan menteri luar mereka untuk merangka peta jalan demi mempromosikan hubungan antara Türkiye dan Syria melalui penyelarasan dengan kementerian pertahanan dan perkhidmatan perisikan empat negara itu,” kata Kementerian Luar Russia dalam nota rasminya.
- “Menteri-menteri itu mendapati suasana positif dan pertukaran pandangan yang membina dan bersetuju untuk mengekalkan hubungan peringkat tinggi dan rundingan teknikal empat hala”.
- Sergey Lavrov, Menteri Luar Russia, berkata bahawa ‘hasil terbaik’ selepas mesyuarat menteri ini ialah kemungkinan ‘perjanjian untuk mengarahkan para pakar menyediakan peta jalan bagi normalisasi Syria-Türkiye untuk mesyuarat menteri seterusnya’.
- Lavrov sendiri menganjurkan agar langkah seterusnya ialah untuk kedua-dua negara kembali semula kepada hubungan ekonomi dan perdagangan ‘tanpa halangan’ antara Türkiye dan Syria.
- Oleh itu, kita dapat melihat bahawa Russia, seperti China, sedang menyelami usaha gigih untuk menjadi pendamai dunia Islam.
- Malah, ramai penganalisis dan banyak negara tidak menjangkakan pemulihan hubangan antara Iran dan Arab Saudi yang ditaja China, dan antara Syria dan Türkiye tajaan Russia boleh berlaku.

- Sedangkan kejayaan diplomasi yang diraih China dilakukan secara rahsia semasa mesyuarat lima hari di Beijing, kejayaan Russia pula adalah terbuka yang didahului oleh mesyuarat menteri pertahanan di Moscow yang dipengerusikan oleh Shoigu.
- Dalam kedua-dua kes tersebut, AS, dengan Doktrin Carternya bahawa Timur Tengah adalah sfera pengaruh eksklusifnya sendiri, telah terperangkap dengan kejayaan diplomasi China dan Russia ekoran ketaksubannya dalam menghala semua perhatiannya kepada perang Ukraine.
- Kedua-dua perkembangan itu melambangkan penjajaran semula serantau yang tidak lagi melihat AS sebagai satu-satunya pihak dalam penghitungan mereka dan merupakan petanda autonomi dan keberdikarian yang lebih besar bagi negara-negara Timur Tengah ke atas hal ehwal mereka sendiri.
- Ia juga adalah hasil keghairahan pemain serantau untuk membawa masuk kuasa global yang mempunyai modal politik dan daya penyungkitan (leverage) mencukupi dengan SEMUA pihak untuk berfungsi sebagai penjamin berkesan bagi kestabilan serantau.
- Ini menjadikan AS tidak layak untuk tujuan di atas kerana ia tidak mempunyai modal politik dan daya penyungkitan mencukupi dengan sekurang-kurangnya dua pemain serantau – Iran dan Syria.
- Malah, reaksi AS terhadap pemulihan hubungan antara Syria-Türkiye menunjukkan ia tidak begitu senang dengan pemulihan hubungan itu.
- Pada 3 Jan, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price mengulangi penentangan AS yang telah lama wujud untuk “negara-negara meningkatkan hubungan mereka atau menyatakan sokongan untuk memulihkan” rejim Assad.
- “Kami menggesa negara-negara untuk mempertimbangkan dengan teliti rekod hak asasi manusia yang kejam rejim Assad sejak 12 tahun lalu kerana ia terus melakukan kekejaman ke atas rakyat Syria dan menafikan akses kepada bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa.
- “Kami telah menjelaskan kepada semua sekutu dan rakan kongsi kami bahawa sekarang bukan masanya untuk memulihkan hubungan, sekarang bukan masa untuk meningkatkan hubungan.”
- Nampaknya idea AS untuk “membuat keamanan” adalah membiarkan keadaan status quo kekal supaya Syria akan terus kekal sebagai negara gagal, dan penderitaan rakyat Syria kekal selama-lamanya.
- Ini merupakan jaminan yang amat baik bagi AS untuk kekal berakar umbi selama-lamanya di bahagian terkaya Syria untuk terus mencuri minyak dan hasil pertaniannya.
- Amat mengecewakan AS, “kata duanya” untuk tidak memulihkan hubungan dengan Syria tidak diendahkan oleh semua sekutu dan rakan kongsinya di Timur Tengah.
- Berpandukan prinsip Islam bahawa ia adalah satu tindakan yang terpuji untuk menenangkan keadaan dan menjadi pengantara antara dua atau lebih pihak yang bertelagah terutamanya di kalangan saudara mereka sendiri, Liga Arab pada mesyuaratnya di Kaherah, Mesir pada 7 Mei mengundi untuk menerima semula keanggotaan Syria selepas penggantungannya lebih 10 tahun lalu.

- Ini menandakan secara am pemulihan hubungan yang amat baik antara Damsyik dan negara-negara Arab lain.
- Selaras dengan pepatah bahawa senantiasa ada hikmahnya dalam mana-mana tragedi, dan anda tidak seharusnya menginjak-injak saudara anda yang mengalami kesukaran yang teruk, gempa bumi tragis Februari 2023 telah mempercepatkan lagi pemulihan hubungan Syria dengan negara-negara Arab di rantau itu.
- Menteri Luar UAE adalah antara yang pertama melawat Damsyik, manakala menteri luar Jordan dan Mesir melawat Syria buat kali pertama dalam tahun-tahun konflik, dan presiden Mesir telah mengadakan perbualan telefon pertamanya dengan rakan sejawatannya dari Syria.
- Arab Saudi, buat pertama kalinya, menghantar beberapa pesawat bantuan kemanusiaan ke Syria, manakala Assad melawat Oman buat kali pertama sejak perang Syria.
- Sama seperti pengendaliannya ke atas perang Ukraine, AS sering mengabaikan perubahan realiti di lapangan di mana dua perkembangan penting telah berlaku sejak 2018.
- Yang pertama ialah perjuangan menentang ISIS telah berakhir, kerana ia bukan lagi menjadi satu kuasa yang perlu diperhitungkan di Syria.
- Bekas presiden AS Donald Trump adalah orang pertama yang mengumumkan perkara ini pada 2018 dengan memberikan semua kredit kepada AS dengan kemenangan ke atas ISIS, sedangkan hakikatnya semua pihak dalam perang Syria telah menyumbang kepada kemenangan tersebut.
- Tetapi intipatinya ialah: Apabila pertubuhan pelampau seperti ISIS mempunyai prinsip teras untuk menjadi musuh kepada semua dan tidak menjadi kawan kepada sesiapa pun, kewujudannya tidak akan bertahan lama. Ia telah dihancurkan oleh prinsipnya sendiri.
- Tiada apa-apa yang selaras dengan Islam tentang prinsip “musuh kepada semua dan bukan kawan kepada sesiapa pun”, walaupun ISIS membawa label “Islam”, dan itulah sebabnya kemenangannya dalam menawan sebahagian besar tanah Syria bertahan selama tiga hingga empat tahun sahaja daripada jumlah 12 tahun perang Syria.
- Dan perkembangan kedua ialah realiti di lapangan telah beralih memihak kepada Assad.
- Sehingga 31 Mac 2020, Angkatan Bersenjata Syria menguasai 63.57% wilayah Syria; Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS, 25.57%; kumpulan pembangkang termasuk Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) yang disokong Türkiye, dan Türkiye, 9.72%; dan ISIS, 1.14%.
- Menjelang awal 2023, Assad dijangka menguasai lebih 64% wilayah Syria. Malah, wilayah Idlib berhampiran sempadan dengan Türkiye adalah kubu kuat terakhir pembangkang Islam anti-Assad di barat laut Syria, tempat HTS berpusat.
- Dengan AS terlalu terpaku dengan perang Ukraine dan membendung kemaraan China, tumpuannya terhadap Timur Tengah kelihatan pudar.
- Dengan kehadiran tentera yang agak besar dan keupayaan operasi di rantau Timur Tengah, Washington kini semakin kurang bersedia untuk terlibat dalam isu serantau.
- Mungkin ini disebabkan kegagalan sekatan “mengejut dan mengkagumkan” ke atas Russia yang telah menjadi semacam bumerang terhadap ekonomi AS sendiri, yang para pakar meramalkan akan mengalami kemelesetan tidak lama lagi.
- Satu lagi sebab mengapa AS kelihatan mengelakkan diri daripada terlibat di Timur Tengah juga mungkin kerana fenomena “demilitarisasi” angkatan tenteranya di mana dengan pengecualian senjata nuklear, AS mempunyai lebih daripada mencukupi senjata dan peluru untuk hanya mempertahankan dirinya sendiri kerana semua lebihan senjata dan pelurunya telah dihantar ke Ukraine untuk dimusnahkan oleh Rusia.

- Memburukkan lagi keadaan, kompleks industri ketenteraannya (MIC) sedang menjalani semacam “penyahindustrian”, di mana ia tidak lagi dapat menghasilkan senjata dan peluru secepat yang dikehendaki oleh Pentagon, memaksanya merayu kepada Korea Selatan dan Jepun untuk bantuan dalam penghantaran segera peluru peluru ke Ukraine.
- Ironinya, ini disebabkan oleh globalisasi, yang didorong oleh AS tetapi telah menyebabkan rantaian bekalan MICnya dipindahkan ke negara-negara lain, kebanyakannya ke China dan India.
- Idea untuk mengalihkan rantaian bekalannya kembali ke AS kini mendapat tarikan dan momentum tetapi ini akan mengambil masa yang agak panjang.
- Lantaran itu, semua perkembangan ini membawa kepada autonomi dan aktiviti yang semakin meningkat di hampir semua negara Timur Tengah, selaras dengan aspirasi mereka untuk autonomi yang lebih besar ke atas hal ehwal mereka sendiri.
- Dan itulah sebabnya rakan kongsi tradisional Washington di rantau ini kini melaksanakan dasar yang lebih autonomi berbanding dengan 8-10 tahun lalu – mempromosikan kepentingan nasional mereka, mempelbagaikan portfolio negara rakan kongsi mereka dan melindung nilai risiko mereka.
- Turut relevan dalam hal ini ialah kenyataan penting menteri luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan al- Saud semasa Persidangan Keselamatan Munich pada Februari, yang mengatakan bahawa “pengasingan dan dasar status quo sudah tidak lagi relevan dengan Syria, dan lambat laun dialog dengan Damsyik amat diperlukan”.
- Perang Syria adalah satu konflik yang kompleks dan pelbagai rupa dengan banyak pelakon, kepentingan, dan dinamik, apatah lagi situasinya yang sangat rumit dan sentiasa berubah.
- Oleh itu, memahami konflik sedemikian memerlukan pemahaman konteks sejarah, pemain utama, punca asas dan dinamik yang berterusan.
- Pelbagai pelakon terlibat, termasuk kerajaan Syria yang dipimpin Assad, kumpulan pembangkang, pertubuhan jihad seperti ISIS, pasukan Kurdi, kuasa serantau seperti Türkiye, Iran, dan Arab Saudi, dan pelakon antarabangsa seperti AS dan Russia.
- Punca konflik itu bermula dengan gerakan Arab Spring pada 2011 apabila protes aman menuntut pembaharuan politik tercetus di Syria.
- Tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan membawa kepada pemberontakan bersenjata dan kemudiannya menjadi perang saudara besar-besaran.
- Konflik pada mulanya menyaksikan pertempuran antara kerajaan Syria dan pelbagai kumpulan pembangkang yang mahukan perubahan politik.
- Ia segera menjadi rumit apabila beberapa kumpulan muncul dengan pelbagai objektif dan kesetiaan. Pada mulanya, pembangkang adalah kumpulan beraneka ragam daripada puak sekular dan Islam, dan militia Kurdi dengan ideologi dan matlamat yang berbeza, sekali gus menjadikan konflik itu pelbagai rupa.
- Lama kelamaan, kumpulan jihad seperti ISIS muncul dan meraih kemenangan wilayah yang ketara, merumitkan lagi keadaan.
- Konflik itu juga menarik penglibatan antarabangsa yang ketara. Pelbagai negara dan pelakon bukan negara telah menyokong puak yang berbeza, selalunya berdasarkan kepentingan geopolitik mereka sendiri.

- Russia, misalnya, telah memberikan sokongan yang meluas kepada kerajaan Syria, manakala AS dan beberapa negara Barat telah menyokong kumpulan pemberontak dan pasukan Kurdi.
- Kuasa serantau seperti Iran dan Türkiye juga telah terlibat, menyokong puak yang berbeza. Sokongan luar ini meningkatkan konflik dan memanjangkan perang.
- Perang Syria telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang teruk. Beribu-ribu orang awam telah terbunuh, dan berjuta-juta telah dipindahkan secara dalaman atau sebagai pelarian.
- Terdapat banyak laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia, dan jenayah perang yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam konflik itu, termasuk penggunaan senjata kimia.
- Perang Syria juga adalah perang proksi, dengan pelbagai negara menggunakan konflik sebagai medan pertempuran untuk mengejar kepentingan mereka sendiri, lantas merumitkan lagi usaha untuk mencapai penyelesaian dan memanjangkan konflik.
- Ia juga telah mengakibatkan berlakunya keadaan yang berbeza-beza yang berkembang dari semasa ke semasa. Pakatan yang berbeza telah terbentuk dan berpisah, dengan keuntungan dan kerugian wilayah oleh pelbagai pihak.
- Konflik juga menjadi semakin rumit dengan penglibatan pelbagai kumpulan pelampau, menjadikannya mencabar untuk mencari penyelesaian.
- Menambah masalah lagi, perang itu juga mempunyai dimensi berpuak-puak dalam mazhab. Presiden Assad adalah dari mazhab Alawi, cabang Syiah Islam, manakala sebahagian besar pembangkang adalah Sunni.
- Syria adalah sebuah negara pelbagai kumpulan etnik dan agama yang sangat kompleks – gerakan protes Arab Spring telah memburukkan lagi ketegangan sedia ada, terutamanya antara majoriti Arab Sunni dan kerajaan yang dikuasai puak Alawi.
- Selain itu, penduduk Kurdi juga telah menuntut autonomi yang lebih besar, memburukkan lagi ketegangan dengan kumpulan lain.
- Perang itu juga mempunyai implikasi serantau yang ketara. Ia telah mencetuskan ketegangan berpuak-puak dalam agama dan menyumbang kepada kebangkitan kumpulan pelampau di rantau tersebut.
- Negara jiran juga terjejas dengan kemasukan pelarian, serangan rentas sempadan, dan penglibatan kuasa serantau.
- Usaha diplomatik antarabangsa telah dibuat untuk menyelesaikan konflik, termasuk rundingan di Geneva dan Astana, serta penubuhan zon bebas perang.
- Bagaimanapun, mencari penyelesaian yang berkekalan terbukti mencabar kerana kepentingan yang berbeza dari pelbagai pelakon yang terlibat.

- Amerika Syarikat (AS), Russia, Iran dan Türkiye menyertai perang Syria atas pelbagai sebab berkaitan dengan kepentingan negara masing-masing.
- Russia, Iran dan Türkiye boleh dianggap sebagai berkongsi “halaman belakang rumah” yang sama dengan Syria, dan oleh itu amat difahami mereka sangat prihatin tentang perang tersebut kerana ia sudah pasti akan turut menjejas mereka.
- Tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan tentang AS yang terletak beribu-ribu batu dari Syria. Ia menebarkan sayapnya dari jauh sebagai hegemon yang merupakan satu-satunya kuasa besar dunia unipolar.
- Terdapat percanggahan di sini kerana pada awal perang, bekas presiden AS Barack Obama telah berkata Syria tidak mempunyai kepentingan strategik untuk AS.
- Namun ketika gerakan Arab Spring dilancarkan oleh puak neo-kon AS pada 2011, AS adalah yang pertama “hadir” di Syria untuk memantau dan memastikan protes aman yang dicetuskan gerakan Arab Spring membawa perubahan rejim kepada demokrasi liberal barat.
- Presiden Syria, Bashar al-Assad bagai terpedaya dengan taktik puak neo-kon itu dengan reaksinya menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang membawa kepada pemberontakan bersenjata dan seterusnya mencetuskan perang saudara besar-besaran.
- Ini menjadi jelas apabila AS mula memberikan bantuan dan sokongan bukan pembunuh (non-lethal aid) kepada kumpulan pembangkang di Syria sejurus selepas protes Arab Spring bermula. Bukankah ini campur tangan terang-terangan dalam urusan dalaman negara lain?
- Atau mungkinkah ini disebabkan oleh ketidaksabaran untuk melihat Syria bertukar menjadi rejim demokrasi liberal barat?
- Malah sebelum penggunaan senjata kimia menjadi isu pada 2013, Obama, secara tiba-tiba pada 2012, memberi amaran kepada kerajaan Syria bahawa penggunaan senjata kimia akan merentasi “garisan merah” dan mencetuskan tindak balas yang ketara dari AS.
- Ini agak membimbangkan kerana ia membayangkan bahawa AS seawal 2012 seolah-olah “tahu” bahawa senjata kimia akan digunakan kemudiannya dalam perang, dan tidak semestinya oleh kerajaan Syria.
- Tetapi apabila serangan kimia akhirnya berlaku pada Ogos 2013, seperti yang berlaku di Ghouta, Obama, walaupun garisan merahnya telah direntas, memilih untuk tidak menghantar tentera ke Syria.
- Adakah ini satu kes hati nuraninya mungkin dicuit?
- Mungkin tidak, kerana keluasan dan kecanggihan pertahanan udara Syria akibat senjata anti-pesawat yang dihantar oleh Russia disebut sebagai sebab utama keputusan AS untuk tidak campur tangan secara ketenteraan atau mengenakan zon larangan terbang walaupun ada komitmen yang disuarakan secara terbuka untuk berbuat demikian jika kerajaan Assad merentasi “garisan merah” menggunakan senjata kimia.

- Penglibatan tentera secara langsung bermula pada September 2014 dengan pembentukan gabungan yang diketuai AS, dikenali sebagai Gabungan Pasukan Petugas Bersama untuk memerangi ISIS.
- Pada Oktober 2015, AS mengembangkan peranannya dengan mengerahkan sebilangan kecil Pasukan Gerak Khas ke Syria, dengan misi utama menasihati, membantu dan melatih pasukan tempatan dalam memerangi ISIS.
- Dalam hal ini, apa yang menghairankan ialah tidak mengapa jika anda ingin berperang dengan ISIS di Syria tetapi memandangkan Syria ialah sebuah negara berdaulat, di manakah budi bahasa anda yang tidak meminta izin kerajaan Syria untuk memerangi ISIS di sana, terutamanya apabila anda telah memutuskan untuk tidak campur tangan secara ketenteraan walaupun anda telah berikrar untuk campur tangan sebelum ini?
- Mungkin inilah yang dikatakan tatanan dunia berasaskan peraturan yang sering digembar-gemburkan oleh AS, yang kini jarang kita dengar!
- AS cuba memberi gambaran ia adalah SATU-SATUNYA yang berperang dengan ISIS di sana sedangkan hakikatnya semua pihak dalam perang Syria turut memerangi ISIS, termasuk kerajaan Syria!
- Di sinilah penyertaan Russia dan Iran dalam perang Syria sangat berbeza dengan AS. Kedua-dua Russia dan Iran secara rasmi diundang oleh Assad pada 2015 untuk membantu Syria dalam perang saudara tersebut.
- Dan oleh kerana sejak sebelum perang lagi, kedua-dua negara ini adalah sekutu Syria, mereka lantas menyahut undangan itu dengan membantu dan menyokong tentera Syria.
- Bagaimana pula dengan penyertaan Türkiye dalam perang Syria?
- Ankara secara konsisten meletakkan memerangi Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai keutamaan dasarnya di Syria.
- PKK ialah pertubuhan politik militan Kurdi dan gerakan gerila bersenjata yang secara sejarah beroperasi di seluruh Kurdistan tetapi kini berpangkalan di kawasan pergunungan majoriti Kurdi di tenggara Türkiye dan utara Iraq.
- Sejak 1984, PKK telah menggunakan peperangan asimetri dalam konflik Kurdi-Türkiye dengan beberapa gencatan senjata antara 1993 dan 2013-15.
- Walaupun PKK pada mulanya memperjuangkan kemerdekaan bagi sebuah negara Kurdistan, pada 1990-an matlamatnya berubah kepada mendapatkan autonomi dan hak politik dan budaya yang lebih besar untuk kaum Kurdi dalam Türkiye.
- PKK disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Türkiye, AS, EU dan beberapa negara lain; namun pelabelan itu kontroversial, dan beberapa penganalisis dan pertubuhan berpendapat ia tidak lagi terlibat dalam aktiviti keganasan yang teratur atau menyasarkan orang awam secara sistemik.
- Türkiye sering melihat, secara tidak adil pada pendapat editor anda, permintaan untuk pendidikan dalam bahasa Kurdi sebagai menyokong aktiviti keganasan oleh PKK.
- Pada 2008 dan 2018 Mahkamah Keadilan EU memutuskan PKK disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas tanpa proses perundangan sewajarnya. Namun, EU masih mengekalkan penyenaraian tersebut.

- Dalam perang Syria, PKK dalam bentuk Pasukan Demokratik Syria (SDF) di Syria adalah sekutu AS.
- SDF terdiri terutamanya daripada pasukan Unit Pertahanan Rakyat (YPG) yang dikaitkan dengan PKK.
- Semasa berperang menentang Syria, Türkiye dan ISIS, SDF bersekutu dengan AS.
- Dan AS, sekutu Türkiye dalam Nato, tidak ragu-ragu dalam menyokong SDF, musuh Türkiye.
- Sepatutnya AS perlu memainkan peranan sebagai pendamai antara Türkiye dan SDF, tetapi sebaliknya ia akan sentiasa mengatakan sebarang serangan Türkiye ke atas SDF mewujudkan perkembangan yang tidak stabil dalam perjuangan AS menentang ISIS.
- AS juga menegaskan pencerobohan Türkiye juga akan memberi kesan kepada kepentingan keselamatan negara AS kerana Pentagon mengekalkan pasukan kecil 900 pasukan khas di timur laut Syria yang bekerjasama dengan SDF.
- Tetapi AS tidak pernah mengambil kira perspektif Türkiye bahawa sokongannya untuk SDF juga mewujudkan keadaan tidak stabil yang sama untuk Türkiye dalam memerangi ISIS.
- Pendirian AS ini mencerminkan mentaliti klasik “pecah dan perintah” penjajah semasa zaman penjajahan.
- Harga yang perlu dibayar oleh AS untuk dasar “pecah dan perintah” ini sangat besar. Kecewa dengan sokongan Washington untuk SDF, Türkiye semakin beralih kepada Russia.
- Malah, kita boleh mengatakan kekecewaan terhadap Washington ini telah memudahkan kerjasama Türkiye-Russia di Syria, yang juga dicerminkan oleh hubungan rapat Erdogan dengan presiden Russia, Vladimir Putin.
- Dan siapa tahu keengganan Türkiye untuk meluluskan keahlian Sweden dalam Nato ada kaitan dengan kekecewaan dan pengkhianatan AS itu?
- Akhirnya, bukan sahaja Türkiye yang telah dikhianati. Pada Disember 2018, presiden Donald Trump mengumumkan pengunduran tentera AS dari Syria, dengan menyebut kekalahan ISIS sebagai sebab utama.
- Keputusan ini menghadapi kritikan, dan garis masa dan skala pengunduran itu kemudiannya diselaraskan kepada 2020, walaupun pengunduran sebahagian tenteranya telah bermula.
- Ini menyebabkan nasib SDF yang disokong AS tidak menentu kerana pengunduran tentera itu.
- Sekali lagi ini adalah pendirian klasik AS untuk meninggalkan rakannya pada masa mereka memerlukannya (terserlah juga dalam pengunduran tentera AS di Afghanistan).
- Terdapat juga satu lagi dimensi kehadiran AS di Syria meskipun pengunduran tenteranya telah diumumkan.
- Pada 30 Julai 2020, SDF yang disokong AS, mungkin untuk menarik AS supaya tidak mengundurkan tenteranya di Syria, menandatangani perjanjian dengan syarikat minyak AS, Delta Crescent Energy LLC, untuk membangunkan medan minyak di rantau itu.

- Kerajaan Syria mengecam perjanjian itu, dengan mengatakan “perjanjian ini adalah batal dan tidak sah dan tidak mempunyai asas undang-undang”. Merampas minyak tanpa kebenaran kerajaan tempatan adalah jenayah perang rompakan.
- Ia mengambil masa setahun kemudian pada 10 Februari untuk AS menjelaskan isu minyak apabila Setiausaha Akhbar Pentagon John Kirby memberitahu pemberita tentera AS tidak komited melindungi medan minyak Syria kecuali “jika sesuai di bawah kebenaran sedia ada untuk melindungi orang awam,” sambil menambah “kakitangan atau kontraktor DOD [Jabatan Pertahanan] tidak diberi kuasa untuk memberikan bantuan kepada mana-mana syarikat swasta lain, termasuk pekerja atau ejennya, yang ingin membangunkan sumber minyak di timur laut Syria.”
- Namun terdapat laporan daripada sumber tempatan di timur laut Syria bahawa tentera AS telah mengangkut minyak dan gandum yang diseludup dari Syria ke Iraq.
- Walaupun pengunduran tentera telah diumumkan pada 2018, sehingga hari ini (lima tahun kemudian) Pentagon masih mengekalkan pasukan kecil 900 pasukan khas dengan beberapa ratus kontraktor di timur laut Syria.
- Pastinya adalah “seronok” menjarah minyak dan hasil pertanian Syria!

- Ditinggalkan oleh AS untuk dibiarkan bersendirian menghadapi serangan Türkiye, pemimpin Pasukan Demokratik Syria (SDF), Mazloum Abdi, pada 5 Jun 2022 berkata beliau bersedia bekerjasama dengan tentera kerajaan Syria untuk bertahan menentang Türkiye.
- Sambil menambah bahawa “Damsyik harus menggunakan sistem pertahanan udaranya terhadap pesawat Turki,” Abdi juga berkata kumpulan Kurdi akan bekerjasama dengan kerajaan Syria, dan keadaan autonomi mereka masih dikekalkan.
- Sebulan kemudian, SDF dan tentera Syria membentuk rancangan aktif untuk menyelaraskan secara aktif dan bersama untuk mengadakan rancangan pertahanan mengawal pencerobohan Türkiye.
- Penyelarasan bersama itu adalah hasil proses rundingan yang bermula pada Oktober 2019, berikutan pegunduran tentera AS yang telah diumumkan.
- Menjelang akhir 2022, pertempuran aktif dalam konflik antara kerajaan Syria dan kumpulan pemberontak kebanyakannya telah reda, dengan satu-satunya pertempuran ialah pencerobohan Türkiye di barat laut Syria.
- Türkiye meneruskan serangannya ke atas pelbagai militia dalam Syria, yang kebanyakannya terdiri daripada Unit Pertahanan Rakyat (YPG), tentera bersenjata SDF yang dikaitkan dengan PKK.
- Satu matlamat yang dinyatakan adalah untuk mewujudkan “zon selamat” di sepanjang sempadan Türkiye dengan Syria, menurut kenyataan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
- Operasi itu secara amnya ditujukan di wilayah Tal Rifaat dan Manbij di sebelah barat Eufrat dan kawasan lain di sebelah timur.
- Erdogan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap operasi itu, dalam perbincangan dengan Moscow pada pertengahan 2022.
- Pada akhir November, Erdogan mengisytiharkan kempen pengeboman udara sebagai hanya permulaan, menekankan bahawa tentera Türkiye akan menyerang melalui darat “secepat mungkin” dan pada “masa yang paling sesuai untuk kami.”
- Penganalisis Barat kemudiannya meramalkan situasi di Syria yang agak tegang ini sekali lagi akan menyaksikan perang Syria memasuki satu lagi fasa pertempuran sengit dengan segala akibat buruknya.
- Tetapi ini dapat dielakkan dengan campur tangan konstruktif dan positif Russia melalui pertemuan pada 28 Disember antara ketua pertahanan dan perisikan Türkiye dan Syria di Moscow di bawah naungan Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu.

- Malah, ia membawa kepada usaha pemulihan hubungan baik antara kedua-dua negara yang menyaksikan pertemuan menteri luar kedua-dua negara di Moscow pada Mei, yang ditaja Russia dan Iran.
- Dengan ISIS telah dihancurkan, penyertaan AS dan sekutu baratnya dalam perang Syria tidak lagi berkesan, dań perdamaian antara puak pembangkang dengan kerajaan Assad, syarat penting bagi keamanan berkekalan di Syria ialah pertemuan antara Presiden Erdogan dan Presiden Bashar al-Assad diadakan secepat mungkin.
- Namun, terdapat cabaran besar untuk pertemuan ini berlangsung. Walaupun Erdogan sangat bersedia untuk pertemuan tersebut, Assad pula telah meletakkan pra-syarat.
- Menurut Assad, pertemuan tersebut hanya boleh menjadi kenyataan “apabila Türkiye dengan jelas bersedia, tanpa sebarang ketidakpastian atau kaveat, untuk pengunduran sepenuhnya [tentera Türkiye] dari Syria, menamatkan sokongan kepada pengganas dan kembali kepada status quo yang telah wujud sebelum bermulanya permusuhan di Syria.”
- Tetapi Ankara mempunyai keutamaan dan logiknya sendiri, dan ini berkaitan, antara lain, dengan penyelesaian isu Kurdi dan mentakrifkan status kumpulan bersenjata Kurdi yang dilihat Türkiye sebagai pengganas; kepulangan pelarian Syria ke rumah mereka; dan proses politik, pembaharuan dan perdamaian dengan pembangkang.
- Mengatasi titik perselisihan ini adalah proses yang rumit. Ankara tidak akan megundur tenteranya dari Syria tanpa jaminan mengenai isu keutamaannya, terutamanya mengenai penyelesaian masalah kaum Kurdi.
- Bagi kepulangan pelarian Syria dari Türkiye (kira-kira 3.5 juta orang), walaupun ini telah dipersetujui oleh kedua-dua Moscow dan Damsyik, mereka tidak bersedia untuk kepulangan besar-besaran rakyat Syria ke rumah mereka atas beberapa sebab yang serius.
- Pertama sekali, keadaan sosio-ekonomi yang sukar di Syria memberi implikasi dalam jangka pendek, kerajaan Syria tidak mempunyai infrastruktur yang sesuai dan sumber ekonomi yang mencukupi untuk menampung sejumlah besar pelarian yang pulang.
- Lebih-lebih lagi, kos untuk menyokong dan mengintegrasikan semula berjuta-juta pelarian akan memberi beban yang tidak mampan kepada ekonomi Syria yang lemah dan boleh membawa kepada keruntuhannya.
- Selain itu, sentimen antikerajaan berterusan di kalangan pelarian tersebut, jadi kediaman padat orang ramai yang terpinggir akan menimbulkan risiko ketidakstabilan dan protes yang meningkat, menyemarakkan kemunculan pasaran gelap dan mengancam kestabilan sosial.

- Akhir sekali, wilayah Syria di sepanjang sempadan dengan Türkiye belum bersedia untuk penyesuaian dan integrasi pelarian yang ingin kembali.
- Lebih memburukkan lagi keadaan, menjelang pilihan raya Mei di Türkiye, Syria sedar kemajuan dalam normalisasi hubungan Syria-Türkiye boleh membantu memperbaiki kedudukan Erdogan. Mungkin itulah sebabnya Assad tidak tergesa-gesa untuk bertemu dengan Erdogan.
- Di sinilah editor anda merasakan Assad tidak mempunyai gambaran luas. Syria dan Türkiye adalah negara jiran, jadi mereka mesti belajar untuk sama-sama wujud dengan penuh tolak ansur.
- Sedangkan AS pula adalah tetamu jauh yang “lawatannya” ke kawasan kejiranan mereka harus dialu-alukan selagi ia tidak memainkan peranan sebagai pengacau.
- Tetapi ia sudah menjadi pengacau – pertama dengan tipu daya politiknya ke atas Syria melalui gerakan Arab Spring, diikuti dengan mengkhinati Türkiye dalam perang Syria dengan menyokong SDF, musuh Türkiye, dan akhirnya mengkhianati juga SDF dengan pengunduran tentera dari Syria.
- Oleh itu, adalah sangat penting bagi Türkiye dan Syria untuk menyedari musuh yang lebih besar ialah AS.
- Dan itulah sebabnya AS sahaja yang tidak mengalu-alukan pemulihan hubungan rapat antara Syria dan Türkiye.
- Menjelang pilihan raya Mei di Türkiye, AS merancang dengan sekutu Eropahnya untuk memastikan perubahan rejim melalui proses pilihan raya.
- Berdasarkan perkembangan ini sahaja, Assad sepatutnya membina modal politik dengan Türkiye dengan membantu Erdogan memenangi pilihan raya melalui sidang kemuncak dengannya sebelum pilihan raya.
- Tetapi sudah tentu, keadaan kini bagaikan nasi sudah menjadi bubur kerana walaupun Assad bersikap dingin pada pertemuan dengan Erdogan sebelum pilihan raya, dan walaupun AS merancang untuk menukar rejim di Türkiye, Erdogan telah berjaya memenangi pilihan raya presiden.
- Jadi adakah ini bermakna seperti yang diramalkan oleh penganalisis barat kini giliran Erdogan untuk bersikap dingin terhadap Assad, lantas meneruskan pencerobohan Türkiye di Syria, seperti yang dirancangnya sebelum ini?
- Jawapannya tidak kerana bukan sahaja Erdogan tetapi seluruh Türkiye termasuk pembangkangnya mahukan pemulihan hubungan rapat dengan Syria.
- Dan sekiranya Erdogan bertegas mahu meneruskan rancangan awalnya untuk menceroboh Syria, Russia tidak akan membenarkannya.
- Ini kerana Russia yang mengawal ruang udara di utara Syria dan bukannya AS.
- Jika Türkiye melintasi garis merah Moscow di utara Syria dengan pencerobohannya, Moscow (atau rejim Assad dengan sokongan Moscow) boleh melancarkan kempen udara yang menyasarkan wilayah itu, mengakibatkan berjuta-juta pelarian Syria lari ke sempadan Türkiye, yang merupakan senario mimpi ngeri bagi Türkiye.
- Jadi ke mana hala tuju perang Syria ketika ini?

- Pada pendapat editor anda, sementara menunggu Assad “turun ke bumi” untuk bersetuju pada sidang kemuncak dengan Erdogan, langkah yang perlu dirintis dengan serta merta ialah untuk memulihkan hubungan ekonomi dan perdagangan ‘tanpa halangan’ antara Türkiye dan Syria, sepertimana yang dianjurkan oleh Menteri Luar Russia Sergey Lavrov.
- Ini akan membantu Syria memulihkan ekonominya yang telah musnah akibat perang, dan memberikannya kemampuan untuk mengalu-alukan kembali pelarian Syria bukan sahaja dari Türkiye tetapi juga di negara-negara berdekatan untuk kembali ke Syria.
- Negara-negara jauh seperti Eropah juga akan mendapat keuntungan dalam bentuk pelarian Syria yang berkurangan datang ke negara mereka.
- Türkiye juga akan meraih manfaat kerana rakyat Türkiye juga sedang menderita akibat ekonomi yang teruk terjejas dengan kadar inflasi yang tinggi.
- Jika hubungan ekonomi dan perdagangan yang ‘tidak terhalang’ antara Türkiye dan Syria ini dihalang oleh sekatan AS, maka abaikannya sahaja.
- Türkiye telah menunjukkan ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan apabila ia pada masa ini mengabaikan sekatan besar-besaran AS dan EU ke atas Russia dalam perang Ukraine.
- Hakikatnya adalah kewajipan semua negara hanya untuk mematuhi sekatan yang dimandatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bukannya sekatan yang dipelopori oleh AS atau EU.
- Negara-negara saudara Teluk yang kaya juga harus menghulurkan tangan untuk membantu mempergiatkan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan Türkiye dan Syria.
- Malah, Russia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan juga boleh membantu dengan membawa Syria dan Türkiye ke dalam lingkungan negara BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai selaras dengan idea mereka tentang dunia multipolar.
- Ini kemudiannya harus diikuti dengan dimensi politik krisis Syria dengan menggunakan platform pemulihan hubungan mesyuarat para menteri Türkiye, Syria, Iran dan Russia untuk mengetengahkan apa sahaja perbezaan antara Türkiye dan Syria, dan merapatkan jurang perbezaan itu secara bijaksana.
- Sebagai contoh jika Syria sudah boleh berdamai dengan bekas musuhnya dari kumpulan Kurdi SDF, yang merupakan musuh Turkiye, sudah pasti ia boleh juga berdamai dengan musuh lainnya seperti puak-puak Islam pembangkangnya yang disokong oleh Türkiye misalnya Tahrir al-Sham (HTS).

- Pada masa yang sama, Türkiye juga harus mengadakan dialog dengan SDF dan menutup tirai konfliknya dengan PKK dengan membebaskan ketuanya, Abdullah Ocalan daripada tahanan rumah, sebagai langkah muhibah.
- Mentelah lagi, Ocalan telahpun menawarkan khidmatnya secara sukarela kepada pihak berkuasa Turkiye untuk PKK menghentikan perjuangan bersenjata mereka menentang Türkiye.
- SDF dan PKK pula harus membalas dengan menganggap rakyat Syria dan Turkiye sebagai saudara Islam mereka dan berpuas hati dengan autonomi yang diberikan oleh Syria di utara negara itu, dan oleh Türkiye di kawasan mereka membentuk majoriti.
- Mereka juga harus menghentikan urusan talam dua atau tiga muka dengan kadangkala berpihak kepada Türkiye untuk melawan Syria, atau berpihak kepada Syria untuk memerangi Türkiye atau berpihak kepada AS untuk memerangi kedua-dua Syria dan Türkiye.
- Sebaliknya mereka harus sentiasa memainkan peranan sebagai pendamai antara Syria dan Türkiye. Begitu juga dengan puak Islam pembangkang Syria yang disokong oleh Türkiye.
- Hakikatnya sama ada Türkiye, Syria, PKK, SDF atau HTS, mereka semua diikat bersama dengan menjadi penganut Islam, dan mereka semua sepatutnya menjadi pendamai dunia, kerana Islam bermaksud keamanan.
- Di mana lagi untuk mula memainkan peranan ini jika tidak memulakannya dari “rumah” dan kejiranan mereka sendiri dengan menjadi pendamai di kalangan saudara mereka yang sedang berperang, dan sesama mereka sendiri.
Baca lebih lanjut mengenai pemulihan hubungan antara Syria dengan Türkiye, perang Syria dan pilihan raya presiden Türkiye:
Turkey and Syria move towards normalisation of relations
‘Normalization of Assad’ is objectively a positive thing for the world
Will reconciliation between Türkiye and Syria help to end the 12-year-old conflict?
Warming Relations between Turkey and Syria: A Tactical Move?
Dialogue needed with Syria government, says Saudi foreign minister
Syria’s Assad wins warm welcome at Arab summit after years of isolation
Analysis: How important is Syria’s return to the Arab League?
China has shattered the assumption of US dominance in the Middle East
China and Russia Peacemakers in the Middle East with a difference
Washington’s obsession with crushing Russia has dismantled its Middle East agenda
The US grip on the Middle East slips, and peace breaks out
Turkey and Syria face challenge to mend ties after years of ‘zero trust’
Twelve years on from the beginning of Syria’s war
Syrian Refugees in Turkey: Changing Attitudes and Fortunes
Twelve Years into Syrian Conflict
U.S. and EU Sanctions against Syria
Arab Solution to Syrian Crisis Bumps into US Sanctions
Turkey wants to join BRICS because it’s disappointed in NATO and EU – analysts
Will There Be Another Regime Change In Turkiye? -by Jamari Mohtar
Resurfaced footage of Joe Biden’s plans for Turkey receives backlash
Putin-Erdogan summit: Prelude to Russo-Turkish clash or last best hope for Syrian peace?
Shanghai Cooperation Organisation

Pemulihan hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi baru-baru ini hasil perjanjian yang ditandatangani di Beijing pada Mac berikutan perbincangan maraton selama lima hari antara wakil kedua-dua negara dan China mencerminkan dalam banyak aspek realiti baharu.
Perjanjian itu mengejutkan banyak pihak kerana kedua-dua negara telah menjadi musuh ketat selama beberapa dekad, bersaing sengit untuk menjadi kuasa terbesar di Timur Tengah.
Perkembangan terbaru ini pastinya menawarkan banyak faedah bersama sekiranya semua pihak yang terlibat terus mengekalkan sikap saling menghormati dan kepercayaan politik dua hala terhadap perjanjian tersebut. Malah negara-negara Timur Tengah yang lain juga dijangka meraih faedah berikutan hubungan rapat antara kedua-dua negara.
Dari sudut ekonomi, ia menguntungkan kedua-dua negara yang pastinya dapat menarik pelaburan besar dari China yang sememangnya berminat untuk meningkatkan pelaburan selain merancakkan sektor pelancongan bukan sahaja di kedua-dua negara malah di negara lain di Timur Tengah.
Namun, apa yang lebih penting dan kritikal buat masa ini ialah perjanjian yang dimeterai itu dapat membantu memulihkan keamanan di Yaman yang seterusnya boleh menghasilkan kestabilan politik dan ekonomi di sana.
Ini kerana negara dan rakyat Yaman telah lama menderita dan terjejas teruk berikutan perang saudara yang dilihat sebagai perang proksi antara Tehran dan Riyadh yang berlarutan lebih lapan tahun.
Peranan China sebagai Orang Tengah
Apa yang turut menarik dalam perkembangan terkini ialah peranan China sebagai orang tengah dan pendamai antara kedua-dua negara yang bermusuhan sejak sekian lama.
China yang kini muncul sebagai negara pengimport minyak terbesar di dunia pastinya mahu melihat kestabilan dan keamanan di negara-negara Timur Tengah. Ia adalah demi kepentingan nasionalnya untuk memastikan kawasan Timur Tengah selamat.
Sedangkan pada masa lalu, China mengambil sikap pasif dalam pelbagai konflik di Timur Tengah, kini ia cuba mempamerkan keupayaannya dengan menawarkan sesuatu yang berbeza daripada AS – iaitu kebolehan berbincang dan berunding dengan semua pihak tanpa membangkitkan isu-isu hak asasi manusia.
Usaha itu menjadi prospek menarik bagi Arab Saudi dan Iran serta negara Timur Tengah lain yang kebanyakannya dianggap oleh Barat sebagai negara tegar.
Tidak seperti AS yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Iran, China mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi dengan kedua-dua Riyadh dan Tehran.
China ialah rakan dagang terbesar Iran dan juga pembeli utama minyak dari Arab Saudi dan Iran, lantas meletakkan China dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan sebagai orang tengah bagi kedua-dua pihak.
Menteri Luar China, Qin Gang dalam sidang media untuk Kongres Rakyat Kebangsaan baru-baru ini mendedahkan rancangan diplomasi China di Timur Tengah adalah usaha berterusan untuk mencari keadilan dan membantu negara-negara di rantau Timur Tengah mencapai penyelesaian politik mengenai isu-isu hangat melalui dialog dan musyawarah.
“China menghormati sepenuhnya negara Timur Tengah sebagai tuan dalam hal ehwal mereka sendiri. Kami tidak mempunyai keinginan untuk mengisi apa yang dipanggil “ruang kosong”. Dan kami tidak akan membina bulatan eksklusif,” katanya.

Faedah untuk Arab Saudi
Matlamat Arab Saudi adalah untuk mengelak sebarang ancaman daripada Iran supaya pemimpinnya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada memenuhi matlamat rancangan besarnya untuk mempelbagaikan ekonomi negaranya daripada hanya bergantung kepada pengeluaran minyak.
Ini termasuk pelbagai usaha dan kelonggaran peraturan untuk menarik pelaburan asing sebanyak mungkin selain meningkatkan penggunaan domestik negara.
Perancangan pembangunan pesat Arab Saudi yang menjadi tumpuan beliau ketika ini termasuk merombak dan mengubah suai ekonomi negaranya secara besar-besaran.
Ini termasuk pembangunan projek Wawasan 2030 dengan projek pembangunan bandar pintar Neom paling mahal dengan menelan belanja AS$500 bilion dan projek mega pelancongan di Laut Merah.
“Kepantasan aktiviti kini menyebabkan mereka (pemimpin Arab Saudi) mahukan sempadan yang jelas (keamanan), dan mereka akan pergi kepada sesiapa sahaja yang boleh memberi mereka peluang itu – sama ada Amerika, China atau gabungan kedua-duanya,” kata Bader al-Saif, seorang pakar Teluk dan Hal Ehwal Arab di Universiti Kuwait.
Reaksi dari Iran
Di Tehran, perjanjian itu dilihat sebagai satu kejayaan besar kerana Iran cuba mengembangkan hubungan serantaunya untuk membebaskan negara itu daripada pelbagai tekanan dan sekatan ekonomi dari Barat dan AS.
Kerajaan Iran juga menganggap perjanjian itu melambangkan kemerosotan pengaruh AS di Timur Tengah.
Amerika Tidak Peduli?
Peranan China dalam mendamaikan dua negara Islam dengan fahaman berbeza – Sunni dan Syiah – bagaimanapun turut dialu-alukan oleh AS yang menganggap pemulihan hubungan baik antara Iran dan Arab Saudi sebagai perkembangan positif.
Setakat ini, Amerika tidak begitu prihatin terhadap peranan diplomasi China dalam mendamaikan kedua-dua negara serta pengaruh China yang semakin meningkat di Timur Tengah.
Mungkin AS melihat pemulihan hubungan rapat antara Iran dan Arab Saudi sebagai sesuatu yang sejajar dengan matlamatnya untuk menghalang Iran daripada membangunkan program senjata nuklearnya – sesuatu yang amat dibimbangkan oleh Amerika dan Barat.
Tetapi ia dilaporkan secara meluas dalam media negara-negara Timur Tengah bahawa isu minyak dan nuklear tidak pernah dibincangkan pada pertemuan di Beijing antara kedua-dua negara.
Namun, menurut Middle East Eye, sebuah pertubuhan berita digital bebas, AS menghantar pengarah CIA Bill Burns ke Arab Saudi pada April yang memberitahu Putera Mahkota Mohammed bin Salman bahawa AS berasa “dibutakan” oleh langkah Riyadh untuk memulihkan hubungan dengan Iran dan Syria sebagai sebahagian daripada rentetan dasar luar negara yang semakin bebas.
Semasa pertemuan itu, Burns juga menyatakan kekecewaan Washington kerana ditinggalkan daripada perkembangan serantau, menurut Wall Street Journal.

Lawatan itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Washington Post, dibuat menyusuli satu siri kejayaan diplomatik yang mengejut oleh Riyadh yang telah menyebabkan AS diketepikan, mengibarkan cakap-cakap mengenai pengaruh AS yang semakin berkurangan di rantau itu.
Pengumuman mengenai pemulihan hubungan antara Iran dan Arab Saudi pada mulanya disambut dengan keraguan di Washington.
Seorang bekas pegawai kanan AS dilaporkan telah melahirkan keraguan tentang kesahihan laporan itu manakala seorang pemangku pegawai AS cuba memperkecilkan kejayaan itu dengan berkata bahawa AS akan menunggu untuk melihat kesannya.
Kenyataan Burns nampaknya bercanggah dengan pendirian rasmi AS bahawa Arab Saudi memaklumkannya tentang rundingannya dengan Iran untuk memulihkan hubungan diplomatik.
“Pihak Saudi telah memaklumkan kami tentang rundingan yang mereka lakukan, sama seperti kami memaklumkan mereka tentang hal ehwal kami,” kata jurucakap Rumah Putih John Kirby pada Mac.
Pegawai AS dengan cepat menyatakan bahawa mereka secara terbuka menyokong dialog antara Iran dan Arab Saudi lama sebelum Beijing menjadi perantara dalam memperbaiki hubungan itu.
Lawatan ketua CIA itu dibuat menyusuli keputusan mengejut Arab Saudi pada April untuk melaksanakan pengurangan pengeluaran minyak yang menyebabkan harga minyak mentah melonjak.
Sokongan Saudi untuk pengurangan itu sebelum ini pada Oktober tahun lalu diselar pentadbiran Biden kerana ia menandakan sokongan Arab Saudi kepada Russia di tengah-tengah perang Ukraine. Tetapi kerajaan Arab Saudi kelihatan memandang sepi aduan AS itu.
Pegawai Saudi telah melancarkan satu ofensif dengan menyelar matlamat peralihan tenaga – yang disokong AS dan Kesatuan Eropah – sebagai tidak realistik.
Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz bin Salman telah memberikan beberapa kritikan paling tajam: “Kami sentiasa mendengar anda ‘bersama kami atau menentang kami’. Tidak kah terdapat ruang untuk ‘kami bersama rakyat Arab Saudi?’” katanya selepas OPEC+ mengurangkan pengeluaran minyak pada Oktober lalu.
Salam,
Jamari Mohtar
Editor, Jom Sembang! &
Rosebi Mohd Sah
Editor Penyumbang, Jom Sembang!
* Baca rencana kami yang diterbitkan oleh Khmer Times pada 14 Jun:
** Rosebi Mohd Sah adalah wartawan veteran dengan pengalaman 30 tahun. Bekas Editor Berita, Berita Harian/Berita Minggu Singapura, akhbar harian Melayu utama dalam kumpulan akhbar SPH, dan sebelum itu wartawan penyiaran Mediacorp News, beliau kini menetap di Dubai, UAE bersama keluarganya.
Catalan terkini
- Bil 3 No 35: Empayar Amerika Syarikat mula merudum [PDF]
- Vol 3 No 36: Türkiye is one key element of multipolarity [PDF]
- Bil 3 No 36: Türkiye adalah satu elemen utama multipolariti [PDF]
- Vol 3 No 37: China and Russia are the peacemakers of the Islamic world [PDF]
- Bil 3 No 37: China dan Russia adalah pendamai dunia Islam [PDF]
- Vol 3 No 38: Dialogue on managing differences: Key to a lasting peace in Syria [PDF]