• Sepanjang pengetahuan Editor anda, dalam era moden ini, dunia tidak pernah menyaksikan keunipolaran sehinggalah tamatnya Perang Dingin apabila peristiwa mengejut keruntuhan negara Soviet Union pada 1991 terjadi kerana faktor dalaman.
  • Jikapun keunipolaran wujud, ia hanya berlaku pada zaman purba di mana orang Parsi (Empayar Achaemenid) menjadi kuasa besar diikuti secara berurutan oleh orang Yunani (Empayar Macedonia), kemudian Rom dan seterusnya orang Islam (Khilafah Islam).
  • Sekiranya kita menyingkap kembali sejarah moden di era Khilafah Uthmaniyyah sebelum berada di puncaknya pada abad ke-16 di mana sebahagian besar Asia dan Eropah berada di bawah pemerintahannya, mereka ketika itu terpaksa berdepan dengan dua saingannya yang terdekat – Dinasti Safavid di Parsi (Iran hari ini) dan Empayar Mughal di India.
  • Malah, semasa zaman kegemilangan penjajahan pada abad ke-18 di mana Eropah menguasai dunia, kuasa besar ketika itu – Empayar British – sering dikekang dan diimbangi oleh Perancis; dan British dan Perancis pula dihalang dan diimbangi oleh Empayar Austria-Hungary (runtuh pada 1918).
  • Menjelang awal abad ke-20, salah satu kuasa besar, Empayar British, terpaksa bersemuka dua kali dengan satu lagi kuasa besar, Jerman, yang kemudiannya membawa kepada dua peperangan dunia – Perang Dunia I (1914-1918) dan Perang Dunia II (1939-1945).
  • Daripada kemusnahan teruk Perang Dunia II (WWII), lahirlah Pax Americana – satu istilah yang digunakan secara meluas selepas WWII apabila AS menumpaskan tentera Nazi, lantas mencetuskan satu tempoh keamanan di dunia Barat.
  • Pax Americana turut menyaksikan dominasi ketenteraan dan ekonomi AS.
  • Namun, ini bukanlah keunipolaran, kerana hegemoni AS ketika itu dikekang dan diimbangi oleh kuasa besar baru, Soviet Union, yang kemudian membawa kepada rundingan Perang Dingin atau détente, lantas mewujudkan dunia dwipolar dalam erti kata yang sebenar.
  • Maka itu, détente dalam konteks dunia dwipolar yang sebenarnya telah menyebabkan keamanan di dunia di mana Perang Dunia III dapat dielakkan selama lebih dari 70 tahun sejauh ini.
  • Détente (bahasa Perancis untuk berihat) pada umumnya merujuk pada pengenduran hubungan tegang, terutama yang bersifat politik, melalui komunikasi lisan.
  • Istilah diplomasi ini berasal dari sekitar tahun 1912 ketika Perancis dan Jerman gagal mengurangi ketegangan.
  • Namun, istilah ini sering digunakan untuk merujuk pada tempoh pengenduran ketegangan geopolitik antara Soviet Union dan AS ketika Perang Dingin.
  • Satu konsep yang berkaitan dengan détente ialah konsep keseimbangan kuasa.
  • Menurut teori keseimbangan kuasa dalam hubungan antarabangsa, negara-negara dapat menjamin penakatan mereka dengan mencegah SATU negara dari memperoleh cukup kekuatan tentera untuk mendominasi yang lainnya.
  • Jika sebuah negara menjadi jauh lebih kuat, teori ini meramalkan ia akan mengambil kesempatan terhadap jiran-jiranya yang lebih lemah, sehingga mendorong mereka untuk bersatu dalam sebuah pakatan pertahanan.
  • Beberapa realis berpendapat sistem keseimbangan kuasa lebih stabil berbanding sistem sebuah negara dominan (keunipolaran), kerana pencerobohan tidak akan menguntungkan sesiapa ketika terdapat keseimbangan kekuatan di antara pakatan ketenteraan yang bersaingan.
  • Prinsip keseimbangan kuasa ini, setelah dirumuskan, menjadi satu kebenaran yang tidak perlu dibuktikan (aksiom) dalam sains politik. Namun, dewasa ini prinsip tersebut telah disangkal oleh ramai penganalisis.
  • Malah rujukan kepadanya oleh para sejarawan dan peguam antarabangsa memberi implikasi bahawa ia merupakan satu sistem peperangan yang sering gagal, atau sistem untuk memulakan perang yang sering berhasil dalam tujuannya.
  • Namun, menurut pendapat Editor anda, prinsip ini tidak harus dinilai semata-mata sebagai satu sistem peperangan ataupun sistem memulakan perang melainkan dinilai dalam hal kegunaannya dalam mencegah terjadinya perang dunia, dan bukan hanya perang biasa.
  • Ia memakan masa 21 tahun setelah Perang Dunia I untuk terjadinya Perang Dunia II, tetapi hingga saat ini, iaitu 78 tahun setelah Perang Dunia II, Perang Dunia III masih belum berlaku.
  • Tidak diragukan lagi hal ini boleh membuat kita berasa amat bimbang dan gelabah karena dengan adanya senjata nuklear sekarang ini berarti ancaman berlakunya Perang Dunia III dengan segala kemusnahan yang mengerikan senantiasa wujud dan nampaknya terlalu dekat.
  • Lantaran itu, prinsip keseimbangan kuasa dan détente pasti telah memainkan peranan dalam mencegah Perang Dunia III selama ini.
  • Sementara itu, adalah tidak tepat untuk menyebut tempoh setelah 1945 sebagai Pax (bahasa Latin untuk keamanan) Americana. Ia hanya Pax Americana semata-mata di AS dan Eropah sahaja di mana wujud keamanan di situ.
  • Di bahagian lain dunia, keamanan bagaikan satu komoditi yang sukar didapati, bermula dengan konflik Arab-Israel pada 1948 yang masih berterusan sekarang ini, hasil hasutan dan tipu daya gerakan Zionis; Perancis dengan Britain melalui Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour; dan kemudian dengan campur tangan AS dan Soviet Union.
  • Perjanjian Sykes-Picot adalah perjanjian rahsia pada 1916 antara UK dan Perancis, dengan persetujuan dari Empayar Russia dan Kerajaan Italy, untuk menentukan pengaruh dan kawalan mereka di beberapa bahagian Empayar Uthmaniyyah apabila ia runtuh kelak.
  • Manakala Deklarasi Balfour pula adalah kenyataan awam yang dikeluarkan kerajaan British pada 1917 semasa Perang Dunia I mengumumkan sokongan untuk pembentukan “sebuah negara untuk orang Yahudi” di Palestin, yang pada masa itu di bawah kuasa Empayar Uthmaniyyah di mana jumlah penduduk Yahudi adalah minoriti yang kecil.
  • Ini diikuti oleh Perang Korea pada 1950-53, hasil hasutan AS dan China; penggulingan Perdana Menteri Iran, Mossadegh pada 1953 (hasutan AS); Perang Vietnam yang panjang dan sukar pada 1955-75 (hasutan Perancis, dan kemudian AS dan Soviet Union); pencerobohan Afghanistan pada 1979-89 oleh Soviet Union; Perang Iran-Iraq pada 1980-88 (hasutan AS); dan Perang Teluk Pertama di Iraq pada 1990-91 (hasutan AS).
  • Dalam situasi seperti ini, seseorang tidak boleh dipersalahkan kerana berfikir Pax Americana adalah satu bentuk muslihat antara AS dengan Eropah untuk memindahkan masalah utama geopolitik di zaman penjajahan Eropah ke Asia dan Timur Tengah melalui Eropah akur mengenai hegemoni AS demi keamanan di AS dan Eropah, walaupun dunia ketika itu dalam tatanan dwipolar pada 1945-1990.
  • Apa yang akhirnya memusnahkan dunia dwipolar ketika itu bukanlah perang, détente atau keseimbangan kuasa, tetapi kegagalan Soviet Union untuk menguruskan ekonominya yang berteraskan rancangan secara berpusat (centrally planned economy) oleh kerana empayar tersebut telah menjadi terlalu besar untuk ekonominya dikelola, yang pada masa lalu merupakan kesilapan pertama dalam kejatuhan semua empayar.
  • Lantaran itulah usaha Mikhail Gorbachev dalam memperkenalkan perestroika (gerakan politik reformasi dalam Parti Komunis Soviet) dan glasnost (reformasi dasar keterbukaan) pada akhir 1980-an untuk menghentikan kemelut ekonomi itu menghasilkan kesan sebaliknya apabila ia mempercepatkan lagi kemelut tersebut secara ekonomi dan politik yang dengan segera menyebabkan keruntuhan Soviet Union.
  • Firasat mengenai kemunculan tatanan dunia unipolar mula timbul dengan runtuhnya Tembok Berlin pada 1989, yang merupakan satu mukadimah kepada keruntuhan sepenuhnya dunia dwipolar dua tahun kemudian, ketika seorang neo-kon Amerika, Francis Fukuyama, dengan girang menulis bahawa ia menandakan “akhir sejarah”.
  • Melihat hampir runtuhnya Tembok Berlin, beliau tanpa sabar telah menulis esei tentang “The End of History” dengan berhujah bahawa kemunculan gagasan demokrasi liberal Barat merupakan titik akhir evolusi sosio-budaya manusia dan bentuk akhir pemerintahan manusia.
  • “Apa yang mungkin kita sedang saksikan bukan sahaja tamatnya Perang Dingin, atau berlalunya suatu tempoh tertentu dalam sejarah pasca-perang, malahan ia sebenarnya adalah berakhirnya sejarah itu sendiri: iaitu, titik akhir evolusi ideologi manusia dan pensejagatan demokrasi liberal Barat sebagai bentuk akhir pemerintahan manusia,” kata Fukuyama dalam eseinya itu pada 1989.
  • Jelas betapa kelirunya Fukuyama kerana sehingga hari ini demokrasi liberal Barat masih belum menjadi norma di banyak bahagian dunia. Ia hanya memberikan alasan kepada Presiden George W. Bush pada 2003 untuk menyerang Iraq dengan dalih menyebarkan demokrasi kepada rakyat Iraq, selain menghukum Saddam Hussein atas tuduhan menyimpan senjata pemusnah massa yang tidak wujud.
  • Di sinilah terletaknya kredo (kepercayaan) neo-kon – ketuanan demokrasi liberal Barat, dengan perubahan rejim melalui revolusi warna yang juga dikenali sebagai campur tangan dalam urusan negara berdaulat lain.
  • Dan mereka begitu terpaku dengan ideologi itu sehingga mereka semacam tiada “gear undur” apabila timbul masalah setelah mereka memulakan projek perubahan rejim ini.
  • Para neo-kon ini bagaikan ditipu oleh ideologi mereka sendiri sehingga gagal menyerap semua pelajaran pahit dan menyakitkan hasil kegagalan usaha mereka menukar rejim yang telah membawa kepada AS dan empayarnya teruk merudum sekarang ini.
  • Neo-konservatisme (neo-kon) adalah gerakan politik yang bermula di AS pada 1960-an di kalangan puak liberal yang condong kepada peperangan sebagai jalan keluar sesuatu masalah kerana kecewa dengan dasar luar negeri Parti Demokratik yang semakin pasifis, kumpulan baru berhaluan kiri (New Left) dan gerakan budaya kontra (counterculture) pada 1960-an, terutamanya tunjuk perasaan perang Vietnam.
  • Di kalangan mereka juga ada yang mula mempersoalkan keyakinan liberal mereka mengenai dasar-dasar domestik seperti konsep Masyarakat Hebat (Great Society) yang diselar sebagai gagasan negara kebajikan (welfarism) oleh lawan mereka.
  • Neo-kon secara umumnya menggalak penyebaran demokrasi dan campur tangan dalam urusan antarabangsa termasuk keamanan melalui kekuatan, serta pembencian mendalam terhadap komunisme dan radikalisme politik
  • Ramai neo-kon menjadi berpengaruh secara politik semasa pentadbiran presiden Republikan pada 1970-an, 1980-an, 1990-an, dan 2000-an, mencapai kemuncak pengaruh semasa pentadbiran George W. Bush, di mana mereka memainkan peranan penting dalam mempromosi dan merancang pencerobohan ke atas Iraq pada 2002.
  • Walaupun tidak menganggap diri mereka sebagai neo-kon, para pegawai kanan seperti Naib Presiden Dick Cheney dan Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan oleh para penasihat neo-kon mengenai dasar luar negara, terutamanya mempertahankan Israel dan peningkatan pengaruh Amerika di Timur Tengah.
  • Lantaran itu bolehlah dikatakan kebangkitan neo-kon dalam politik Amerika berlaku pada masa AS menjadi satu-satunya kuasa besar dalam dunia unipolar (1991 hingga sekarang).
  • Dan semasa menjadi kuasa besar tunggal dalam tempoh yang singkat itu, AS telah mendatangkan banyak malapetaka dunia melalui hala tuju geopolitiknya yang bermatlamat menegakkan ketuanan demokrasi liberal Barat dengan menggunakan kaedah revolusi warna demi mencetuskan perubahan rejim di serata dunia.
  • Dari pencerobohan ke atas Afghanistan pada 2001, Iraq pada 2003, dan gelombang tunjuk perasaan dan protes rakyat ke atas kerajaan yang dinamakan Arab Spring pada 2010-an yang membawa kehancuran Syria dan Libya, hinggalah ke revolusi Maidan di Ukraine pada 2014 dan kegawatan geopilitik terkini di Taiwan, dunia masih belum menikmati keamanan yang berterusan di bawah hegemoni AS.
  • Dan selaras dengan pelaksanaan dasar liberalisasi ekonomi yang umumnya dikaitkan dengan golongan neo-liberal termasuk penswastaan, penyahkawalseliaan (deregulation), globalisasi, perdagangan bebas, monetarisme, dan pengurangan perbelanjaan kerajaan untuk meningkatkan peranan sektor swasta dalam ekonomi dan masyarakat, kerusakan kepada ekonomi dunia yang dicetuskan puak neo-kons adalah amat dahsyat.
  • Penting untuk ditekankan bahawa neo-liberalisme (neo-lib?) berbeza daripada liberalisme atau neo-konservatisme (neo-kon) dalam hal ini, kerana ia tidak menyokong dasar ekonomi laissez-faire tetapi sangat menyokong keberadaan negara yang kuat untuk mewujudkan reformasi pasaran dalam setiap aspek masyarakat.
  • Menurut sejarawan Daniel Stedman Jones, neo-liberalisme “terlalu sering digunakan secara am untuk menggambarkan kekejaman berkaitan dengan globalisasi dan krisis kewangan yang berulang”.
  • Dasar-dasar ekonomi ini pada hakikatnya adalah sesuatu yang neutral, tetapi ianya digunakan secara berkesan oleh puak neo-kon dalam koridor kekuasaan untuk mengabui matlamat mereka yang sebenar iaitu ketuanan demokrasi liberal Barat, dengan perubahan rejim melalui revolusi warna sebagai intinya.
  • Baru-baru ini, puak neo-konservatif telah merosakkan dasar-dasar ekonomi ini dengan “mengsenjatakan” dolar AS melalui sekatan “mengejut dan mempersona” (shock and awe) ke atas musuh-musuhnya.
  • Selaras dengan hukum pergerakan Newton yang menyatakan bahawa “sebarang tindakan akan menghasilkan reaksi yang sama tetapi berlawanan”, kita kini sedang menyaksikan reaksi tersebut dalam bentuk kesan bumerang dari sekatan tersebut, dan yang lebih penting, peralihan ke dunia multipolar dengan satu aspek multipolariti yang semakin mendapat perhatian – percubaan dedolarisasi oleh banyak negara.
  • Ini akan menghakis status cemerlang dolar AS sebagai mata wang rizab dunia dalam masa terdekat.
  • Dolarisasi (antonim dedolarisasi) melambangkan dominasi AS dalam kewangan global.
  • Ia bermula pada 1920-an apabila dolar AS mula menggantikan pound sterling sebagai mata wang rizab antarabangsa kerana AS muncul dari Perang Dunia I tanpa banyak terjejas. Mentelah lagi negara itu menerima kemasukan aliran emas yang agak ketara semasa perang.
  • Setelah AS menjadi kuasa besar yang lebih kuat semasa Perang Dunia II, Persetujuan Bretton Woods pada 1944 telah membentuk sistem kewangan antarabangsa pasca-perang, dengan dolar AS menjadi mata wang rizab utama dunia untuk perdagangan antarabangsa, dan satu-satunya mata wang pasca-perang yang dikaitkan dengan emas pada nilai AS$35 setiap troy auns.
  • Sistem Bretton Woods juga menyaksikan penggunaan dolar AS sebagai satu wadah mata wang untuk perdagangan antarabangsa.
  • Jabatan Perbendaharaan AS mempunyai pengawasan ketara ke atas rangkaian pemindahan kewangan SWIFT, dan mempunyai pengaruh besar kepada sistem urusan kewangan global, dengan keupayaan untuk mengenakan sekatan ke atas entiti dan individu asing.
  • SWIFT merujuk kepada sistem Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia yang mengendalikan kebanyakan pemindahan wang dan sekuriti antarabangsa.
  • Ia merupakan rangkaian pesanan yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan untuk menghantar dan menerima maklumat dengan pantas, tepat, dan selamat, seperti arahan pemindahan wang.
  • Namun perbelanjaan negara yang meningkat pada 1960-an menyebabkan timbulnya keraguan tentang keupayaan AS untuk mengekalkan penukaran emas dengan dolar, mengakibatkan stok emas semakin berkurangan apabila bank-bank dan pelabur antarabangsa mula menukar dolar kepada emas, yang menyebabkan kejatuhan nilai dolar.
  • Berdepan dengan krisis mata wang dan risiko AS tidak lagi dapat menebus dolar dengan emas, penukaran dolar-emas ini akhirnya dihentikan pada 1971 oleh Presiden Richard Nixon, yang mencetuskan fenomena “Nixon shock”.
  • “Nixon shock” adalah satu siri tindakan ekonomi yang diambil pada 1971 sebagai reaksi terhadap inflasi yang semakin meningkat, yang paling penting termasuk pembekuan gaji dan harga, caj tambahan ke atas import, dan pembatalan unilateral penukaran langsung dolar AS kepada emas.
  • Walaupun tindakan Nixon itu tidak membatalkan sistem pertukaran kewangan Bretton Woods, penggantungan salah satu komponen utamanya secara efektif menjadikan sistem tersebut tidak berfungsi.
  • Menjelang 1973, rejim sekarang ini yang berasaskan mata wang fiat terapung secara bebas telah menggantikan sistem Bretton Woods.
  • Satu lagi konsep yang ada kaitan dengan dolarisasi adalah konsep petrodolar di mana semua perdagangan antarabangsa minyak mestilah menggunakan dolar AS.
  • Teori konspirasi tersebar meluas yang menyatakan bahawa Saddam dan Gaddafi dibunuh kerana berani menolak petrodolar dengan menjuarai penggunaan dinar sebagai mata wang perdagangan minyak mereka (petrodinar).
  • Maka itulah, Iraq dan Libya, atas hasutan golongan neo-kon, dihancurkan melalui perubahan rejim dan menjadi negara yang gagal hingga hari ini.
  • Namun, apabila China dan Russia berani menolak petrodolar dengan menggunakan yuan (petroyuan) dan rouble (petrorouble) dalam perdagangan minyak mereka, AS tidak berdaya untuk menjadikan yuan atau rouble runtuh kerana ia tersilap langkah meremehkan Russia dan menganggapnya hanya sebagai negara dunia ketiga seperti Iraq dan Libya, atau dalam kata-kata Senator John McCain yang kini telah meninggal dunia, “stesen minyak yang menyamar sebagai sebuah negara”.
  • Pastinya beliau adalah seorang neo-kon, senator yang sudah meninggal ini, kerana kebenciannya terhadap komunisme, tanpa mengambil kira fakta bahawa ketika beliau membuat kenyataan ini pada 2015 semasa masih lagi hidup, Russia bukan lagi negara komunis sejak 1991!
  • Beliau mesti merenunginya di alam kuburnya… walaupun tidak semestinya beliau akan mengubah pandangannya terhadap Russia sebagai stesen minyak walaupun jika Tuhan menghidupkannya semula!
  • Mungkin semasa bertarung dengan Malaikat Maut, beliau mungkin berfikir bahawa beliau telah menipu Tuhan kerana peranannya dalam menghasilkan begitu banyak neo-kon yang masih hidup untuk meneruskan perjuangan neo-konservatisme.
  • Pentadbiran White House di bawah presiden Biden kini mempunyai ramai neo-kon tegar dan Kongres AS kini juga dipenuhi dengan bakal-bakal neo-kon!
  • Ini hanya menunjukkan betapa seringnya para neo-kon ditipu oleh ideologi neo-konservatisme mereka!
  • Mari kita bincang kebaikan dan keburukan dedolarisasi/dolarisasi yang merupakan dua perspektif berbeza dari aspek yang sama.
  • Kehadiran unggul dolar dalam perdagangan global, kewangan, dan pelaburan memberikan kelebihan ketara kepadanya seperti kos urusan dan risiko kadar pertukaran yang lebih rendah, dan keupayaan untuk membiayai defisit dengan kos yang lebih rendah.
  • Selain itu, dominasi dolar juga disokong oleh saiz dan kekuatan ekonomi AS, pasaran kewangan AS yang mendalam dan cair, serta tanggapan AS sebagai benteng kestabilan.
  • Namun, dolar AS mempunyai kelemahan tersendiri, kerana memberikan AS “keistimewaan yang terlalu besar” untuk mengekalkan defisit akaun semasa yang besar dan mengumpulkan jumlah hutang yang besar, yang boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan dan ketidakstabilan ekonomi dunia.
  • Dengan kata lain, ini membolehkan AS membelanjakan jumlah wang yang sangat besar dengan mudah untuk menjadi kuat dan sangat kaya seolah-olah tiada hari esok, atas “belas kasihan” semua orang di dunia.
  • Kebanyakan wang tersebut telah dan akan terus diagihkan kepada kompleks ketenteraan-perindustrian AS dan pembiayaan bagi projek perubahan rejim neo-kon.
  • Saat penghisaban bagi AS akan tiba apabila hutangnya menjadi amat besar sekali sehingga nasibnya sebagai kuasa besar ekonomi akan lenyap tidak lama lagi.
  • Dominasi dolar juga menjadikan ekonomi lain rentan terhadap turun naik dasar monetari AS, yang sering mengakibatkan kesan tumpahan yang mungkin tidak sejajar dengan keadaan ekonomi domestik mereka.
  • Selain itu, negara-negara yang memiliki banyak hutang dalam denominasi dolar mungkin menghadapi kerentanan yang lebih tinggi terhadap turun naik mata wang dan pembalikan arus modal, yang boleh memburukkan lagi risiko krisis kewangan.
  • Sedang dunia semakin saling terhubung, keperluan untuk satu sistem kewangan yang stabil dan adil sangat penting. Dan dengan itu, kebergantungan yang keterlaluan pada dolar AS sebagai mata wang rizab sedikit sebanyak telah menyebabkan kerentanan dan ketidakseimbangan dalam ekonomi global.
  • Faktor-faktor ini, digabungkan dengan kekuatan ekonomi yang semakin meningkat dari negara-negara pesat membangun serta keinginan mereka untuk menyaksikan seni bina kewangan (financial architecture) yang lebih rencam dan berdaya tahan telah mendorong minat banyak negara untuk meneruskan usaha dedolarisasi.
  • Dalam beberapa tahun terakhir, beberapa negara dan wilayah telah memulai perjalanan menuju dedolarisasi, didorong oleh kombinasi pertimbangan geopolitik, ekonomi, dan strategik.
  • Contoh yang ketara termasuk China, Russia, Brazil, dan Kesatuan Eropah, masing-masing telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangi kebergantungan mereka pada dolar AS dalam urusan antarabangsa dan pasaran kewangan.
  • Negara-negara seperti China dan Russia telah berusaha mengurangi pengaruh dolar AS sebagai cara untuk melawan hegemoni Amerika dan mengurangi impak sekatan AS.
  • Pada 2020, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, menjelaskan bahwa Moscow akan terus melanjutkan “dasarnya yang bertujuan ke arah dedolarisasi bertahap” dan membuat perjanjian dalam mata wang tempatan seberapa mungkin.
  • Lavrov menyifatkan penolakan terhadap dolar sebagai “respons objektif terhadap ketidakpastian dasar ekonomi AS dan penyalahgunaan Washington terhadap status dolar sebagai mata wang rizab dunia.”
  • Beliau menegaskan ketika dalam satu sidang akhbar pada 26 April, bahwa AS telah membuktikan bahwa mereka tidak berkata benar selama beberapa dekad setelah penghapusan penukaran emas-dolar oleh Nixon apabila mereka berkata: “Jangan bimbang, tanpa dukungan emas, ini bukanlah dolar kami. Ini adalah mata wang global bersama yang akan menjamin berfungsinya semua mekanisme ekonomi global.”
  • Lavrov seterusnya menegaskan lagi tren meninggalkan penggunaan dolar AS untuk penyelesaian dalam perdagangan antarabangsa dan peralihan ke mata wang domestik tidak dapat diubah lagi. Dedolarisasi sudah bermula dengan tempo tidak begitu pantas, namun pasti semakin laju.
  • Sedang negara pesat membangun, negara pengeluar minyak di Timur Tengah, bahkan Eropah juga mencoba untuk menginovasi mekanisme pembayaran dan penyelesaian rentas sempadan, menandatangani perjanjian dua hala mata wang, dan menggalakkan kepelbagaian rizab pertukaran asing, Lavrov berkata tempo “dedolarisasi” global semakin pantas.
  • Proses dedolarisasi ini, tambahnya, sebenarnya dilancarkan oleh AS, “bahkan sekarang proses ini sedang dianalisa dengan keprihatinan besar”, di mana “peralihan kepada penyelesaian dalam mata wang nasional, yang membelakangkan dolar, euro, dan yen, hingga ke pembangunan mata wang digital sudah tidak dapat dihentikan.”
  • Diplomat Rusia tersebut juga menyatakan bahwa ada “pertanyaan besar” mengenai apa yang akan terjadi dengan sistem kewangan antarabangsa, “termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.”
  • Pada akhir Mac, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, telah menyarankan penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) ala IMF untuk mengurangi kebergantungan pada dolar AS.
  • Beliau membuat saranan itu di forum Boao di Hainan, dengan menekankan peri perlunya mengurangi kebergantungan pada dollar AS atau IMF. IMF pula, di bawah pengaruh AS dan EU, nampaknya sibuk dan terlalu terpaku dengan menampung kewangan rejim Kyiv demi memperpanjang perang Ukraine.
  • Menurut Anwar, China terbuka untuk berbincang dengan Malaysia tentang penubuhan AMF, di tengah-tengah ketidakpuasan dunia terhadap dominasi dolar AS.
  • Saranan pemimpin Malaysia itu dibuat hanya beberapa bulan setelah beberapa mantan pegawai di Singapura membincang apa yang seharusnya dilakukan oleh ekonomi serantau mengurangi risiko dolar AS yang masih kukuh yang melemahkan mata wang tempatan.
  • Beberapa penganalisis bimbang sedang negara-negara mengurangi kebergantungan mereka pada dolar AS, penyelarasan dalam komposisi aset rizab global boleh menyebabkan peralihan dalam aliran modal dan perubahan harga aset.
  • Sekiranya tiada penyelarasan dasar dan pengurusan risiko yang mencukupi, perubahan ini boleh mewujudkan ketidakstabilan kewangan, terutama dalam pasaran baru muncul dan negara yang mempunyai hutang dalam denominasi dollar yang besar.
  • Lantaran itu, penggubal dasar harus berwaspada dalam memantau dinamik tersebut, lantas mengambil langkah-langkah yang tepat untuk menjaga kestabilan kewangan.
  • Para penganalisis tersebut juga berpendapat ada beberapa cabaran utama yang perlu dihadapi demi memastikan peralihan yang lancar dan stabil daripada sistem yang berpaksikan dolar AS.
  • Ini kerana dalam pada dedolarisasi memberikan peluang untuk mewujudkan sistem kewangan global yang lebih pelbagai dan berdaya tahan, ia juga menimbulkan beberapa cabaran utama yang perlu diurus dengan berhati-hati untuk memastikan kestabilan kewangan global dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
  • Dan bagaimana pula respons AS terhadap semua ini?
  • Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, sambil akur akan peranan berkurangan dolar AS sebagai mata wang rizab dunia kerana Washington menggunakan pengaruhnya ke atas sistem kewangan global untuk mencapai matlamat geopolitiknya melalui sekatan, namun beliau dengan angkuh berkata tiada calon jelas untuk menggantikannya.
  • Yellen berkata demikian apabila ditanya dalam satu wawancara pada 16 April dengan Fareed Zakaria dari CNN mengenai keberkesanan sekatan anti-Russia dan mengenai rekod Washington dalam apa yang beliau gambarkan sebagai “pensenjataan dolar”.
  • Zakaria merujuk kepada kenyataan baru-baru ini oleh Presiden Brazil, Lula da Silva, dan ahli politik lain mengenai risiko kebergantungan kepada mata wang AS dan bertanya sama ada masa sekarang ini akan diingati sebagai saat “hegemoni dolar dan statusnya sebagai mata wang rizab mula terhakis”.
  • Yellen mengakui penggunaan sekatan kewangan “boleh melemahkan hegemoni dolar” dalam jangka panjang, tetapi berjanji Washington menggunakan “alat penting” ini dengan bijaksana dan dengan sokongan sekutunya.
  • Bagaimanapun, beliau menambah peranan dolar AS adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti saiz pasaran perbendaharaan AS, penggunaannya yang meluas dalam perdagangan antarabangsa, dan “peraturan perundangan” di AS yang tidak dapat ditawarkan oleh negara-negara lain.
  • “Kami belum melihat negara lain yang mempunyai infrastruktur asas dan infrastruktur institusi yang membolehkan mata wangnya berkhidmat untuk dunia seperti ini,” jelasnya.
  • Dalam hal ini, Editor anda berasa beliau tidak memahami intipati isu kerana penentang dominasi AS dalam kewangan global tidak semestinya menggesa penggantian dolar dengan mata wang lain yang memainkan peranan yang sama.
  • Russia, sebagai contoh, telah mengutamakan peralihan dari dolar ke mata wang serantau.
  • Ketiadaan mata wang rizab global yang tunggal akan menjadi elemen semulajadi multipolariti, kata penyokong model sedemikian.
  • Penggunaan sekatan yang belum pernah terjadi sebelumnya oleh Barat terhadap Russia, termasuk larangan perdagangan, rampasan rizab negara dan penafian perkhidmatan kewangan kepada syarikat-syarikat Russia, hanya akan mempercepatkan peralihan ini, menurut pandangan mereka.
  • “Ini bukan satu kebetulan bahawa perbincangan tentang peralihan kepada mata wang kebangsaan telah digerakkan sekarang,” kata Lavrov pada Februari semasa perbincangan mengenai perdagangan Russia-Brazil. “Tiada siapa yang tahu siapakah yang tidak disenangi presiden AS setelah bangun di sisi katil yang salah.”
  • Lazimnya seorang neo-con, tumpuan Yellen dalam wawancara CNN bukan pada dolar yang goyah tetapi perubahan rejim di Russia melalui perang Ukraine.
  • Seperti yang dikatakan oleh Alex Christofouro dari Duran, sebuah saluran berita bebas, dengan nada sinis, “puak neo-kon ini, mereka hidup, makan, dan bernafas setiap saat dalam hidup mereka dengan perubahan rejim. Mereka bahkan menyirami hidangan makanan mereka dengan rempah-rempah revolusi warna yang sangat pedas.”
  • Dan dalam melakukan demikian, mereka tidak peduli bahawa mereka menyeret warga dan negara mereka ke dalam kancah kemusnahan.
  • Dalam edisi mendatang Jom Sembang!, Editor anda akan menyentuh beberapa aspek multipolariti lain yang sedang muncul yang akan mengakhiri dominasi tragik AS sebagai satu-satunya kuasa besar di dunia unipolar ini.
%d bloggers like this: